Malaysia Liga Super Malaysia

Kewajaran dan kesan Liga Malaysia diteruskan pada bulan Ramadhan

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan sebelum ini bahawa Liga Malaysia akan tetap diteruskan pada bulan Ramadhan.

Antara sebab perlawanan liga diteruskan pada bulan puasa adalah agar setiap pasukan bertanding dapat mengekalkan momentum mereka dan mengelakkan jadual menjadi padat jika liga berehat selama sebulan.

Selain itu, liga juga diteruskan supaya semua kejohanan (Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia) dapat diselesaikan sebelum Oktober bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan yang akan beraksi dalam Kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 pada awal November nanti.

Setakat ini, tiada bantahan daripada pasukan, jurulatih atau pemain. Mungkin sama seperti sebab yang diberikan MFL, ada pasukan yang sedang dalam momentum yang baik, oleh sebab itu jika mereka berehat panjang, ia mampu menjejaskan momentum pasukan.

Selain itu, tiada isu bagi pemain untuk beraksi di bulan Ramadhan. Banyak liga bolasepak di dunia yang tidak berhenti ketika bulan Ramadhan. Perlawanan dan latihan juga diadakan pada waktu malam bagi memudahkan pemain meneruskan ibadat puasa.

Namun, mungkin satu perkara yang mungkin terjejas apabila Liga Malaysia tetap diteruskan pada bulan Ramadhan adalah kehadiran penonton. Perlawanan yang bermula pada jam 10 malam dan akan tamat hampir pukul 12 tengah malam mungkin membuatkan penyokong kurang berminat untuk hadir.

Ini bukanlah kali pertama liga Malaysia diteruskan pada bulan Ramadhan. Rekod sebelum ini telah menunjukkan bahawa kehadiran penonton terjejas pada bulan Ramadhan. Bermain pada pukul 10 malam mungkin terlalu lewat, terutamanya jika ada penyokong yang datang dari jauh. Pada tahun 2015 dapat dilihat, sehinggakan Stadium Larkin yang kebiasaannya penuh ketika itu juga sukar dipenuhi dengan penyokong.

Kalau kita melihat Liga Indonesia sebagai contoh, perlawanan liga mereka juga dilewatkan sedikit, tetapi tidak terlalu lewat. Kebiasaannya mereka mengadakan perlawanan sekitar pukul 7.30 malam, tetapi bagi bulan Ramadhan, mereka adakan perlawanan pada pukul 9.30 malam. Mungkin wajar untuk Malaysia cuba untuk mengadakan perlawanan pada masa yang sama. Sekurang-kurangnya ianya tidak akan menjadi terlalu lewat.

Pasukan-pasukan yang bersaing perlu bersedia dengan penurunan jumlah penonton kecuali bagi pasukan yang memang sudah sememangnya tidak ramai penonton. Bagi pasukan yang bergantung kepada tiket perlawanan, mungkin mereka perlu lebih kreatif untuk menjana pendapatan pada bulan Ramadhan ini.

Walau apa pun, tindakan meneruskan perlawanan pada bulan Ramadhan adalah keputusan yang sewajarnya. Bergantung kepada penyokong sendiri sama ada mereka mahu berehat sebulan atau terus memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.