Malaysia Liga Super Malaysia

Kaji semula import ASEAN, ini jawapan Kevin Ramalingam

Apabila ditanya mengenai desakan beberapa pihak yang mahu pengambilan pemain import ASEAN dalam Liga Super dikaji semula, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menganggap ia sebagai satu penilaian yang tidak adil dan tidak dibuat secara menyeluruh.

Katanya, kebanyakan pemain import ASEAN sebenarnya membarisi kesebelasan utama dan telah pun menjadi tonggak pasukan masing-masing.

Malah kehadiran mereka juga memberikan tanda positif terhadap nilai Liga Super dan berjaya menarik minat penonton di rantau Asia Tenggara untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang berlangsung di negara ini.

“Saya hairan daripada aspek manakah penilaian dilakukan oleh beberapa individu yang mengatakan kuota import ASEAN tidak memberi kesan kepada perkembangan Liga Super?

“Tujuan utama kita memperkenalkan kuota itu adalah untuk meningkatkan nilai komersil dan pemasaran Liga Super dengan harapan mampu menarik minat penyokong ASEAN menyaksikannya.

“Secara dasarnya, kehadiran mereka sememangnya membantu apa yang ingin kita sasarkan berdasarkan jumlah tontonan dan pandangan penyokong dari luar yang menyaksikan aksi bola sepak di negara ini,” katanya kepada Berita Harian.

Justeru itu, Kevin menegaskan kuota import ASEAN akan tetap diteruskan pada musim akan datang.

“Kita perlu memberi ruang yang secukupnya terhadap pelaksanaan kuota import ASEAN ini kerana ia perkara baharu. Jadi saya berpendapat ia akan diteruskan.

“Sekiranya mahu kajian dilakukan, mungkin selepas ia dijalankan sekurang-kurangnya selama tiga tahun bagi menilai semula keberkesanannya,” katanya.