Luar Negara Eropah

VAR di Serie A: Impak positif mengatasi kesan negatif

34 minggu Serie A 2017/18 berlangsung dan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) menjadi satu aspek menarik untuk dibincangkan. Ia adalah kali pertama Serie A menggunakan VAR tetapi adakah ia membantu penyelarasan tugas buat pengadil? Sejauh manakah manfaatnya?

Melihat data yang diraih daripada Calcioefinanza, daripada 33 giornata yang dijalankan, VAR menyumbangkan satu kesan besar apabila perlanggaran pemain di padang menurun sebanyak 8.8% berbanding musim lalu, penurunan jumlah pemain menerima kad merah sebanyak 6.4%, kekurangan protes dari pemain sebanyak 19.3% setiap perlawanan dan pengadil kurang memberikan amaran kepada pemain sebanyak 14.7% dalam setiap aksi.

Daripada data itu, VAR boleh disifatkan mempengaruhi tingkah laku pemain di atas padang. Mereka tidak lagi dengan mudah melakukan aksi nakal dengan perlanggaran atau lakonan keranan walaupun terlepas daripada pandangan pengadil, belum tentu mereka terlepas daripada rakaman VAR.

Selain itu, penggunaan VAR di Serie A juga memberi kesan dalam kenaikan jumlah penalti. Jika dibandingkan dengan musim lalu, penalti di Serie A musim ini meningkat sebanyak 4.3% selepas 33 perlawanan. Jumlah keputusan yang diubah pengadil juga cukup banyak, iaitu 105 daripada 1.736 kajian semula VAR yang dilakukan oleh pengadil dalam memberikan penalti.

VAR dilihat sangat membantu pengadil dalam menjalankan tugas dan turut memberi kesan pergerakan pemain-pemain tetapi ia juga tidak terlepas daripada kesalahan. Terdapat 17 keputusan pengadil yang salah selepas melihat kepada VAR dan lapan daripadanya memberi kesan kepada keputusan perlawanan.

Tempoh permainan juga meningkat secara drastik. Secara purata, minit perlawanan berlanjutan sehingga lima minit 41 saat dan tempoh efektif perlawanan menurun menjadi 43 minit setiap aksi, berbanding 49 minit ketika 2015/16 dan 50 minit pada musim lalu.

Bagaimanapun, pengadil di Itali masih mampu bersuara. Mereka akan terus memastikan penyelarasan yang pantas dalam menggunakan VAR buat pengadil-pengadil. Hasilnya sudah mula dilihat selepas tiga minggu aksi 2017/18 berjalan, dimana tempoh seminit 22 saat untuk tayangan VAR telah dipendekkan kepada 31 saat sejak giornata 4.