Santai Luar Negara

Barisan pengadil berkualiti yang berjaya membuatkan dunia bolasepak lebih indah

Jika terdapat barisan pengadil yang teruk dan penuh kontroversi, sudah tentu wujud pengadil yang bagus. Tegas, adil dan memberikan segala keputusan tepat adalah kriteria yang diperlukan mereka. Walaupun senarai di bawah mungkin tidak sempurna dan pernah melakukan kesilapan tetapi harus diakui mereka adalah antara yang terbaik.

Felix Brych

Brych adalah pengadil terbaik IFFHS pada tahun lalu menerusi undian yang jauh mengatasi pesaingnya. Dia adalah pengadil yang mengendalikan aksi final Liga Juara-Juara musim lalu diantara Real Madrid dan Juventus. Selain pengadil, dia juga memegang status doktor dalam bidang perubatan.

Mark Clattenburg

Clattenburg adalah pengadil terbaik dunia sebelum Brych. Dia merupakan pengadil bagi aksi akhir Liga Juara-Juara dan Liga Europa pada musim 2016. Pengadil dari England ini telah berhijrah ke Arab Saudi untuk menjadi ketua pengadil di negara kaya minyak itu. Dalam satu aksi di sana, dia sempat menghentikan perlawanan seketika bagi memberi laluan kepada azan.

Bjorn Kuipers

Pengadil dari Belanada ini masih tampak seperti atlet walaupun sudah memasuki usia 44 tahun. Kiupers sudah mengendalikan beberapa perlawanan penting, termasuk final Liga Juara-Juara 2014 dan final Liga Europa 2013. Sebelum ini, dia juga menjadi pengadil untuk aksi final Piala Dunia B-20 pada tahun lalu.

Bibiana Steinhaus

Steinhaus adalah pengadil wanita pertama yang bertugas dalam liga utama Eropah. Bersama Brych, dia menerima penghargaan selaku pengadil wanita terbaik IFFHS pada tahun lalu, sekaligus menjadi anugerah ketiga berturut-turut buatnya. Walaupun masih belum mengendalikan aksi besar, kelibatnya juga harus dipandang serius.

Pierluigi Collina

Collina adalah seorang legenda dalam dunia pengadilan Italia serta dunia. Dalam aksi Liga Juara-Juara 1999, Collina dilihat memberikan semangat kepada pemain-pemain Bayern Munich selepas Manchester United menyumbat dua gol. Dia adalah pengadil terbaik dari 1998 sehingga 2003.