Luar Negara Berita

Sukan Asia 2018 mampu selamatkan karier Son Heung-min

Seperti yang diketahui, pemain sayap Tottenham Hotspur, Son Heung-min, baru saja dipanggil menyertai kem ketenteraan Korea Selatan. Berdasarkan keadaan yang berlaku, Son dibenarkan untuk tidak menjalani latihan itu sekiranya menampilkan aksi hebat membawa cabaran pasukan negaranya di Piala Dunia 2018 di Russia.

Seperti menerima angina baru bagi mengelakkan diri daripada latihan ketenteraan itu, Son boleh melepaskan diri sekiranya menambahkan pingat di pentas Sukan Asia 2018 di Jakarta pada Ogos ini. Son dikhabarkan memang mahu memperkuatkan pasukan negaranya di temasya sukan terbesar benua Asia itu. Setidaknya, perkara itu telah disuarakan oleh pelatih skuad B-23 Daehan Minguk, Kim Hak-bum.

“Son memiliki keinginan besar untuk beraksi di Sukan Asia tetapi dia juga harus tampil di Piala Dunia. Saya memberitahunya agar beraksi hebat di Russia sebelum kembali bertemu di Sukan Asia.

“Isu ini sangat sensitif tetapi saya yakin Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) akan menangani masalah ini dengan baik. Pasukan senior, B-23, KFA dan kelab pemain harus bekerjasama,” kata Kim.

Walaupun kini sudah berusia 25 tahun, Son masih mampu menampilkan bisanya di Sukan Asia bagi skuad bawah 23 tahun. Sama seperti saingan Olimpik, Sukan Asia juga membenarkan penyertaan pemain berusia lebih daripada 23 tahun untuk turut serta. Bagaimanapun, jumlahnya dihadkan kepada hanya tidak pemain daripada 23 keseluruhan.

Apa yang menarik, Son pernah tidak dibenarkan untuk menyertai skuad Korea di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan. Ketika itu dia masih mewakili Bayer Leverkusen tetapi keadaan sekarang tentunya menyukarkan Son untuk menolak panggilan itu sambil Spurs juga tidak dapat menahan pemergian Son.

Tatkala saingan Piala Dunia tentunya lebih sukar, Sukan Asia dilihat dapat menyelamatkan karier Son. Apabila dia berjaya membutirkan pingat buat negaranya, dia masih boleh beraksi di Liga Perdana Inggeris dan terlepas daripada kewajipan kem ketenteraan yang boleh menyebabkannya melupakan bola sepak hampir dua tahun.

Pengorbanan tetap harus dilakukan kerana Son akan tampil di Sukan Asia pada Ogos. Dalam erti kata lain, dia akan terlepas aksi-aksi awal Tottenham pada musim depan.