Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Kemunculan Sean Selvaraj, ketiadaan Evan dan Ilham tidak menjadi masalah

Selangor kembali memperoleh kemenangan dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan di Stadium Cheras pada malam tadi.

Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Rufino Segovia yang menanduk masuk hantaran lintang daripada Amri Yahyah pada minit ke-34. Mereka kemudiannya menggandakan jaringan pada minit ke-56 apabila Sean Eugene Selvaraj melakukan satu penyudah daripada jarak dekat. N Thanabalan merapatkan jurang apabila beliau menanduk masuk hantaran lintang daripada Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-64.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan:

Kemunculan Sean Selvaraj

Setelah beraksi dalam beberapa perlawanan sebagai pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj akhirnya mengumumkan kemunculan beliau dalam Liga Malaysia dengan aksi cemerlang pada perlawanan malam tadi serta berjaya menyumbat satu gol. Agak malang kerana beliau terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan setelah banyak membantu di bahagian serangan.

Selangor memanfaatkan ruangan bahagian sayap

Pasukan Selangor banyak melakukan gerakan-gerakan menyerang di bahagian sayap, terutamanya dalam kawasan ‘half-space’. Pendekatan mereka ini dijustifikasikan dengan jaringan 2 gol yang berpunca daripada gerakan dalam kawasan ‘half-space’ dimana hantaran akhir 2 gol tersebut datangnya daripada kawasan tersebut. Amri Yahya bermain dengan cukup efisien dalam posisi ini

Negeri Sembilan mengalami masalah dalam memanfaatkan peluang

Separuh masa pertama melihatkan betapa sukarnya pasukan Negeri Sembilan melakukan gerakan-gerakan untuk mencipta peluang secara kolektif, apatah lagi memanfaatkan peluang yang mereka peroleh. Mujur, mereka mempunyai Thanabalan di bangku simpanan yang melakukan impak segera setelah dimasukkan sebagai pemain gantian.

Impak segera N Thanabalan

Apabila anda melihat Thanabalan masuk sebagai pemain gantian, tidak keterlaluan sekiranya anda terus mengharapkan beliau menjaringkan gol dan itulah yang beliau lakukan, menjaringkan gol. Lebih menakjubkan, beliau menewaskan Willian Pacheco ketika melompat untuk menanduk masuk gol tersebut. Saya percaya beliau boleh mencabar untuk mendapatkan kesebelasan utama, lebih-lebih lagi Azraai Khor gemar menggunakan gandingan 2 penyerang.

Ketiadaan duo Indonesia tidak menjadi masalah

Ketiadaan Evan Dimas dan Ilham Udin dalam kesebelasan utama menjadi perhatian kerana mereka merupakan antara tonggak penting pasukan Selangor. Namun, Selangor membuktikan yang ketiadaan mereka (setakat ini) tidak menjadi masalah kepada pasukan apabila Sean Eugene dan K Sarkunan beraksi dengan baik pada malam tadi untuk mengisi kekosongan mereka. Jika Sean Eugene boleh dipertimbangkan untuk memulakan perlawanan seterusnya, Sarkunan pula mungkin perlu bersaing dengan pemain lain untuk memperoleh kembali kesebelasan utama dalam perlawanan seterusnya.