Malaysia Kajian & Analisis

Analisis: Kuartet Kedah bernyawa pada babak kedua, Akanni Sunday masih belum serasi

Dalam perlawanan Liga Super Malaysia pada malam tadi, Terengganu telah diikat oleh pasukan Kedah dengan jaringan 1-1 di laman sendiri.

J Partiban menjaringkan gol pertama perlawanan apabila beliau menyudahkan satu lorongan cantik daripada Bruno Suzuki 2 minit sebelum tamat separuh masa pertama namun Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan apabila menyudahkan satu gerakan berpasukan oleh rakan serangan beliau pada minit ke-64.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

Bruno Suzuki efektif sebagai penyerang kedua

Bekas penyerang Negeri Sembilan, Bruno Suzuki sekali lagi bermain dengan cemerlang untuk Terengganu malam ini, terutamanya di posisi penyerang kedua. Gerakan-gerakan pasukan Terengganu di kawasan ‘final third’ banyak berpusat kepada Bruno. Dia juga berjaya menghasilkan hantaran akhir untuk gol pertama pasukan Terengganu hasil jaringan J Partiban.

Khairul Helmi muncul titik kelemahan pasukan Kedah

Pergelutan Khairul Helmi untuk mencari rentak musim ini masih berterusan di Kuala Terengganu malam tadi. Dia seharusnya boleh melakukan lebih baik untuk menutup hantaran akhir daripada Bruno Suzuki ketika gol pertama Terengganu. Dia juga hampir menghadiahkan satu lagi gol kepada Terengganu apabila gagal berkomunikasi dengan baik dengan Ifwat Akmal dalam menghalang larian Bruno Suzuki.

Masalah keserasian Akanni Sunday

Akanni Sunday menunjukkan bahawa beliau boleh menggalas tugas sebagai penyerang tunggal untuk menggantikan Kipre Tchetche, namun permainan ‘link-up’ beliau bersama pemain lain dalam perlawanan ini agak kurang memberangsangkan. Beliau juga berjaya memperoleh satu atau dua peluang namun gagal menyudahkan peluang tersebut.

Kelibat Liridon Krasniqi agak dirindui pasukan Kedah

Kedah menggunakan Halim Saari dan Amirul Hisyam sebagai gandingan midfield di hadapan pertahanan Kedah pada perlawanan malam ini. Walaupun Halim dan Amirul berjaya melaksanakan tugas mereka masing-masing dengan bagus pada malam ini, namun pasukan Kedah jelas terasa ketiadaan Liridon yang boleh melakukan hantaran-hantaran ke hadapan yang merbahaya. Tidak pasti adakah Liridon kurang cergas untuk perlawanan pada malam ini, namun kelibat Liridon amat diperlukan dalam perlawanan Kedah yang seterusnya.

Kuartet serangan pasukan Kedah bernyawa pada babak kedua

Kuartet serangan yang melibatkan Akhyar Rashid, Syazwan Zainon, Sandro Mendonca dan Baddrol Bakhtiar sangat aktif dalam pertukaran posisi apabila menyerang kawasan pasukan Terengganu pada separuh masa kedua. Hasilnya? Kuartet ini kesemuanya terlibat dalam gol pertama pasukan Kedah.