Malaysia Liga Super Malaysia

Velizar Popov mahu Kelantan hormati Piya dan Khairul Fahmi

Hormati Khairul Fahmi dan Badhri Radzi.

Itulah permintaan bekas jurulatih Kelantan, Velizar Popov menerusi laman Twitter peribadinya selepas hangat khabar mengenai kedua-dua pemain itu akan dilepakan oleh Kelantan.

“Piya dan Apek adalah lagenda dan perlu dihormati.”

https://twitter.com/VelizarPopov/status/988825127440830465

Popov yang mengendalikan Kelantan pada tahun 2016 menggantikan K.Devan juga menyatakan bahawa Kelantan wajar memberi penghormatan kepada pemain tempatan yang sudah sekian lama menjulang nama Kelantan dan membawa pulang trofi ke Kota Bharu.

“Bukan dengan cara itu, jika kelab tidak menghormati saya, itu perkara biasa kerana saya orang luar, tetapi mereka perlu lebih menghormati pemain lagenda mereka seperti Indra, Piya, Apek dan Nor Farhan.”

Kesemua pemain yang disebut oleh Popov itu merupakan tunjang utama kejayaan treble Kelantan suatu ketika dahulu.

Namun, faktor usia dan juga masalah kewangan Kelantan yang dibelenggu hutang menyebabkan mereka terpaksa melepaskan ramai pemain senior.

Indra Putra meninggalkan Kelantan di awal musim dan kini merupakan ketua pasukan Kuala Lumpur. Nor Farhan pula baru sahaja meninggalkan Kelantan dan menyertai D’AR Wanderers FC.

Khairul Fahmi yang merupakan antara wira Piala AFF Suzuki 2010 dan Sukan SEA 2011 dikhabarkan akan menyertai Indra Putra di Kuala Lumpur.

Selain beberapa pemain tempatan, Kelantan juga terpaksa melepaskan dua pemain import mereka, Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga.