Luar Negara Eropah

Anggota Parlimen Britain kecam rancangan jelajah pra-musim Leeds United ke Myanmar

Kehadiran kelab-kelab Eropah ke negara Asia Tenggara bukanlah perkara baru.

Kelab-kelab gergasi seperti Manchester United, Inter Milan, Barcelona, Liverpool dan Arsenal pernah singgah ke Asia Tenggara untuk jelajah pra-musim mereka.

Namun, perancangan kelab di Liga Championship, Leeds United ke Myanmar telah menerima kecaman teruk di United Kingdom.

Anggota Parlimen Britain yang juga Menteri alternatif bagi Sukan , Dr. Rosena Allin-Khan menyelar perancangan Leeds United yang mahu mengadakan jelajah pra-musim di Myamar pada 9 dan 11 Mei nanti.

“Tiada kelab yang wajar mempromosi sebuah negara yang membenarkan pembunuhan besar-besaran terhadap rakyat mereka.

“Mereka perlu berfikir semula. Mereka akan diingati dengan tindakan yang salah ini.

“Ia salah secara moral jika sebuah pasukan bolasepak mengambil bahagian dalam siri jelajah pra-musim di sebuah negara yang mempromosikan pembunuhan wargan negara secara besar-besaran,”kata Dr. Allin-Khan lagi seperti dipetik daripada BBC.

Dr. Allin-Khan pernah melawat kem pelarian Rohingya di sempadan Myanmar pada November tahun lalu.

Dia turut menyatakan bahawa dia perlu meluahkan rasa marah dengan kecewanya terhadap pengumuman Leeds serta menambah siri jelajah itu akan menguatkan lagi tindakan kerajaan Myanmar untuk mengendahkan usaha diplomatik.

Leeds United telah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Pasukan All-Star Liga Myanmar di Yangon dan juga skuad kebangsaan Myanmar di Mandalay dalam siri jelajah tersebut.