Malaysia Berita

Lebih separuh pemain pasukan Kuantan FA sudah dapat pasukan baharu

Bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mendedahkan lebih separuh bekas pemain pasukan Kuantan FA sudah pun mempunyai pasukan baharu selepas pasukan itu disingkirkan daripada Liga Perdana.

Katanya, kebanyakannya menyertai beberapa pasukan yang bersaing dalam Piala FAM memandangkan jendela perpindahan kedua untuk Liga Super dan Liga Perdana masih belum dibuka.

Namun beliau menganggap penghijrahan beberapa pemain pasukan itu sebenarnya adalah satu petanda positif buat anak buahnya yang berdepan masalah tunggakan gaji di Kuantan FA.

“Boleh dikatakan lebih separuh sudah ada pasukan. Tindakan MFL dan FAM menyingkirkan Kuantan FA adalah satu langkah yang baik kerana pemain boleh cari pasukan lain.

“Sebelum ini, 10 pemain sudah tinggalkan pasukan dan hanya tinggal 15 pemain dalam pasukan. Sekarang ini lebih separuh pemain sudah ada pasukan baharu dan kebanyakannya beraksi dalam Piala FAM.

“Ini langkah terbaik buat pemain. Apa yang penting mereka dapat cari makan dan meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Ismail berharap nasib malang yang menimpa Kuantan FA tidak berlaku lagi kepada pasukan lain pada masa akan datang.

“Ini patut dijadikan iktibar kepada pasukan lain, ia memberi kesan yang mendalam kepada saya dan pemain apabila tidak mendapat gaji.

“Apa yang berlaku adalah penderaan mental bila gaji tak dapat tiga atau empat bulan. Banyak benda yang kami perlu bayar termasuk rumah, kereta dan menyara keluarga,” katanya.