Malaysia Eropah

Ekslusif: Bayer Leverkusen bakal datang ke Malaysia?

Asia merupakan satu pasaran yang luas serta mempunyai potensi untuk banyak syarikat. Bagi kelab-kelab bolasepak terutamanya di Eropah, negara-negara Asia yang menggilai bolasepak sememangnya bagaikan lubuk emas buat mereka.

Negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia,Thailand dan Indonesia sering menjadi tumpuan pasukan-pasukan luar untuk latihan pra-musim. Antara yang sudah ke Asean adalah pasukan seperti Manchester United, Liverpool, Barcelona, Borussia Dortmund dan banyak lagi.

Ketika saya mengikuti program Bundesliga International minggu lalu, saya sempat bertanya kepada Jocchen Rotthaus, Pengarah Pemasaran Bayer Leverkusen, jika mereka mempunyai perancangan untuk ke Asia Tenggara.

“Salah seorang pembantu saya pernah ke sana untuk promosi, dan kami mahu ke Asia untuk meluaskan jenama kami. Ini merupakan salah satu strategi dan kami mahu mengukuhkan pengaruh serta menambah bilangan penyokong kami di media sosial. Ia satu pasaran yang besar dan kami mahu lebih besar di pasaran Asia.”

Bagi pasukan-pasukan Jerman, mereka mempunyai misi jangka masa panjang untuk menembusi pasaran Asia Tenggara. Mereka juga mahukan kehadiran mereka bukan sekadar satu langkah pemasaran tetapi juga kerjasama jangka masa panjang di antara kelab Bundesliga dengan kelab bolasepak tempatan.

Oh ya, saya sempat bertanya jika mereka berminat untuk ke Malaysia suatu hari nanti. Ini jawapan Rotthaus.

“Malaysia? Saya kurang pasti, tapi jika ada potensi dan jika ada ramai pengikut Bayer Leverkusen di Malaysia, pasti kami akan datang.”

Jadi, dah sampai masa kita mengumpul pengikut Leverkusen di Malaysia. Pasti kelab ini ada penyokong dari zaman Michael Ballack, hinggalah ke zaman Kevin Volland sekarang kan? Mungkin menarik kalau dapat diadakan perlawanan Kuala Lumpur menentang Bayer Leverkusen di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.