Luar Negara Berita

Mika Chunuonsee, rakan sepasukan Aaron Ramsey yang kini mewakili skuad kebangsaan Thailand

Pentas Piala Raja-Raja sering digunakan oleh pengurus skuad Thailand untuk mencuba pemain baru. Beberapa pemain seperti Phipat Tonkanya dan Charyl Chappuis semuanya ditemui ketika mewakili skuad The War Elephants ketika kejohanan tahunan bagi menghormati Raja Thailand itu. Ketika edisi 2019, giliran pemain kelahiran Wales, Mika Chunuonsee, untuk memperagakan aksinya.

Mika sebenarnya sudah beraksi ketika edisi 2015, namun dia sempat tampil dalam satu perlawanan sahaja. Sejak itu, dia tidak lagi dipanggil mewakili Thailand. Dilaporkan situasi itu berlaku kerana pengendali sebelum ini, Kiatisuk Senamuang, tidak terlalu gemar untuk memanggil pemain berdasarkan keturunan untuk beraksi.

Nama Mika akhir tersenarai disebabkan dua perkara. Dua bek tengah Thailand, Adisak “Geng” Promrak, dan satu bek keturunan asing, Manuel Bihr, mengalami kecederaan, membuatkan pengurus, Milovan Rajevac, memanggil Mika atas dasar mahukan pemain yang berpengalaman.

Biarpun gagal menamatkan saingan sebagai juara selepas tunduk di tangan Slovakia, penampilan Mika cukup memberi impak buat Thailand. Malah, jika dikira situasi dipanggil pada saat akhir, persembahannya wajar dipuji.

Rakan sepasukan Aaron Ramsey di akademi Cardiff City

Kehadiran Mika juga menjadi penanda aras baru buat bola sepak Thailand. Selepas tamat era Kiatisuk, kini perhatian mula teralih kepada pemain dengan status foreign born untuk mewakili skuad Gajah Putih. Selain Mika, mereka juga memiliki Manuel Bihr, Phillip Roller dan Kevin Deeromram. Ia menjadi penarik kerana kebanyakan pemain yang lahir di luar negara atau berdasarkan faktor kekeluargaan itu bermain pada posisi pertahanan.

Mika sendiri mempunyai darah Wales. Ayahnya berasal dari Thailand dan ibunya dari selatan Tanah Inggeris itu. Apa yang menarik adalah tentang perjalanan awal karier yang dilalui Mika. Segalanya bermula di akademi Cardiff City, menyaksikannya beraksi bersama bintang Arsenal dari Wales, Aaron Ramsey.

Bersama Cardiff, ia boleh dikatakan sebagai waktu terbaik Mika sebagai pemain bola sepak di Eropah. Dia pernah dipanggil menyertai skuad muda Wales untuk Kejohanan UEFA di Cyprus pada tahun 2006. Ketika itu, dalam skuad B-17, Mika juga beraksi disamping bintang Real Madrid, Gareth Bale, serta bek Reading, Chris Gunter. Ketiga-tiga pemain itu masih berhubung sehingga hari ini.

Malangnya, nasib mereka berbeza. Selepas melepasi ujian di akademi Cardiff City, hanya Mika berjaya membarisi pasukan tempatan Wales daripada Bryntirion Athletic hingga Afan Lido. Dia sempat meraih tempoh percubaan bersama Reading, namun Mika memilih untuk berkelana bersama pasukan negara bapanya, Muangthong United, sekaligus muncul pasukan pertamanya di Thailand. Sejak 2014, dia telah mewakili Bangkok United.