Malaysia Liga Super Malaysia

Forkey Doe cedera panjang, Pahang perlu mencari alternatif lain dengan segera

Selepas JDT melakukan pertukaran pemain import, nampaknya Pahang mungkin juga perlu melakukan perkara yang sama.

Penyerang berbisa mereka, Francis Forkey Doe telah disahkan bakal terlepas saingan Liga Super musim ini disebabkan kecederaan kaki kanan yang didapati serius. Perkara ini disahkan oleh ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh seperti dilaporkan Harian Metro.

“Saya tak sangka kecederaan dialami Doe begitu serius ketika skuad ini berada pada prestasi terbaik. Dia sudah membuktikan kepada pasukan dan penyokong bahawa sentuhannya masih lagi berbisa dan membantu pasukan mencatat kemenangan.”

Forkey Doe, penyerang yang cukup sinonim dengan liga Malaysia telah menjaringkan lima gol untuk Pahang dan merupakan penjaring terbanyak liga setakat ini bersama Yahor Zubovich (Melaka United) dan Rufino Segovia (Selangor).

Gandingannya bersama Patrick Cruz telah membantu Pahang mendaki tangga liga dan kini berada di kedudukan kedua, dua mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’azim (JDT).

Setakat ini masih belum ada khabar jika Pahang akan menggantikan Forkey Doe dengan pemain import lain bagi memperkuat pasukan. Namun langkah tersebut mungkin akan diambil apabila jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan Mei nanti.

Dengan Johor DT membawa masuk bekas pemain Lyon, Harry Novillo dan juga seorang lagi penyerang untuk menggantikan Luciano Figueroa, Pahang perlu memperkuatkan pasukan jika mereka terus mahu mencabar JDT di persada Liga Super tahun ini.

Buat masa sekarang, hanya dua mata membezakan kedua-dua pasukan, tetapi Pahang mempunyai perbezaan gol yang lebih positif. Mereka hanya bolos dua gol dalam lima perlawanan liga – sama seperti rekod yang dimiliki oleh JDT. Namun, Pahang telah berjaya menjaringkan 10 gol – satu gol lebih daripada rekod 9 gol yang dicatat oleh JDT setakat ini.

Walau bagaimanapun, 50% daripada gol Pahang di pentas Liga Super datang daripada Forkey Doe. Kebergantungan ini tidak begitu ideal untuk harapan skuad Tok Gajah dan meskipun mereka memiliki Patrick Cruz, penyerang Liberia itu sudah tentu perlu digantikan dengan nama lain pada bulan Mei nanti.