Luar Negara Eropah

Selepas tujuh tahun, Mino Raiola masih berdendam terhadap Pep Guardiola

Segalanya bermula dari Barcelona, dimana sewaktu Zlatan Ibrahimovic beraksi di sana di bawah kendalian Pep Guardiola sebagai entrenador. Hubungan Ibrahimovic dan Guardiola sangat teruk dan ia membuatkan Mino Raiola yang bertindak sebagai ejen bintang Sweden itu berasa kesal. Kini, tujuh tahun telah berlalu dan Ibrahimovic kini sedang menuju ke Amerika Syarikat, namun dendam Raiola terhadap Guardiola masih belum terpadam.

“Sebagai pengurus, saya akui Guardiola sangat hebat tetapi sebagai manusia biasa, dia pengecut,” kata Raiola kepada Independent sambil menyifatkan pengendali Manchester City itu sebagai anjing.

Tidak cukup dengan itu, Raiola turut mengungkit tindakan Guardiola terhadap Ibrahimovic sehingga kedua-duanya tidak boleh bekerjasama dengan baik.

“Guardiola pernah berpesan kepada Ibrahimovic untuk datang kepadanya jika mempunyai sebarang masalah tetapi kemudian dia tidak memberikan peluang kepada Ibrahimovic untuk beraksi, bahkan tidak bertegur dengan penyerang itu.

“Guardiola juga melakukan tindakan sama kepada Maxwell, pemain yang dikenali tanpa sebarang masalah. Jadi saya menyuruh Ibrahimovic untuk meletakkan keretanya di parkir milik Guardiola ketika sesi latihan.”

Sebagai maklumat tambahan, dalam buku autobiografi I Am Zlatan, Ibrahimovic menjelaskan setiap pemain Barca tidak boleh datang ke sesi latihan menaiki kenderaan peribadi, sebaliknya harus menaiki kenderaan milik kelab yang disediakn penaja, membuatkan Ibrahimovic tidak selesa.

Berbalik kepada kisah dendam Raiola kepada Guardiola, ejen berkelas dunia itu mendedahkan bahawa selepas Barca menjuarai Liga Juara-Juara di Wembley pada 2011, dia sebenarnya ingin memukul Ibrahimovic di bilik rehat tetapi dihalang Adriano Galliani yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan, kelab yang sedang meminjam Ibrahimovic.

“Dia bukan orang yang baik. Jika City memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim ini, ia bagus untuk kariernya tetapi saya tetap membencinya,” ujar Raiola menamatkan sesi temubual tentang pengendali itu.

Pep Guardiola ketika ini hanya menanti hari untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris yang pertama bersama City. Mereke kini mengumpul perbezaan 16 mata berbanding Manchester United yang berada di tangga kedua liga tatkala saingan hanya berbaki lapan minggu, bahkan kejuaraan itu mampu disahkan sekiranya mereka memenangi pertemuan seteru setempat, dua minggu lagi.