Malaysia Liga Super Malaysia

Mampukah Francis Forkey Doe menjadi penjaring terbanyak Liga Super?

Penyerang Liberia, Francis Forkey Doe tekad mahu menjadi penjaring terbanyak Liga Super 2018 untuk membalas kepercayaan pihak pengurusan Pahang dan juga Dollah Salleh.

Pemain berumur 33 tahun itu dibawa masuk oleh Pahang untuk menggantikan Mattheus Alves, yang meninggalkan Tok Gajah untuk menyertai Suwon FC. Dan apabila diturunkan buat kali pertama ketika menentang Kelantan, Forkey Doe berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk skuad Dollah.

Minggu ini, dia dijangka akan mengemudi jentera serangan Pahang sekali lagi, apabila mereka turun berentap dengan pasukan lamanya, Selangor.

“Sudah pasti satu gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada saya. Malah, saya pasti gembira sekiranya dapat terus merobek gawang lawan termasuk Selangor Sabtu ini,” kata Forkey Doe, menurut laporan Arena Metro.

“Mungkin ramai yang meragui kemampuan saya, apatah lagi dengan faktor usia saya. Namun, saya tekad membuktikan tanggapan itu salah sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan PBNP dan Dollah.

“Saya bukan sahaja berharap dapat membantu Pahang menjulang sekurang-kurangnya satu trofi tetapi juga muncul penjaring terbanyak musim ini,” tambah bekas penyerang skuad kebangsaan Liberia itu.

Ini merupakan tahun ketujuh Forkey Doe bermain di kancah bolasepak Malaysia, selepas membuat penampilan pertamanya pada tahun 2012 bersama Terengganu. Setakat ini, dia sudah pernah menyarung jersi enam pasukan tempatan, termasuk Felda United, NS Matrix dan juga Kelantan.

Anda rasa Forkey Doe mampu menjadi penjaring terbanyak Liga Super tahun ini?