Liga Super Malaysia

Pahang sah kehilangan Matheus Alves untuk musim baru Liga Super

Matheus Alves telah secara rasmi meninggalkan Pahang dan Liga Super Malaysia untuk menyertai pasukan divisyen kedua Korea Selatan, Suwon FC.

Berita tersebut disahkan oleh pemain itu sendiri melalui Instagram dan pemain yang berasal daripada Brazil itu sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan juga penyokong Pahang.

“Saya ingin berterima kasih kepada Pahang FC, rakan sepasukan, barisan jurulatih dan juga para penyokong Pahang. 2017 merupakan tahun yang cukup menakjubkan untuk keluarga saya. Satu hari nanti, saya berharap dapat pulang bermain untuk kelab ini dan juga para penyokong yang sentiasa di belakang saya,” ujar Alves.

Matheus Alves merupakan antara pemain terbaik di Liga Super musim lepas selepas berjaya meledak 18 gol untuk membantu Pahang menduduki tempat kedua di tangga Liga Super. Hanya Mohammed Ghaddar berjaya menjaring jumlah gol yang melebihi rekod Alves bersama Pahang.

Selain itu, dia turut berjaya meledak lima kali dalam saingan Piala Malaysia, walaupun skuad Tok Gajah tewas di peringkat suku akhir. Malah, Alves turut dimasukkan ke dalam senarai 30 pemain terbaik di Asia yang dikeluarkan oleh Football Tribe Malaysia baru-baru ini.

Perpindahan ini adalah peluang kedua untuk Alves beraksi di Korea Selatan. Sebelum berpindah ke Pahang, Alves menghabiskan satu musim bersama Gangwon FC.