Liga Super Malaysia

FAM bakal arah pemain, jurulatih isytihar harta?

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bertindak tengas dengan menguatkuasakan semua pemain, pegawai pasukan termasuk jurulatih bolasepak mengisytiharkan harta masing-masing tidak lama lagi.

Menurut laporan Utusan Malaysia, penguatkuasaan ini akan dilakukan ekoran kemelut gejala mengatur perlawanan dalam kancah Liga Malaysia yang kembali menjadi sebutan.

Memetik kenyataan Tan Sri Aseh dari laporan tersebut: “FAM tidak akan berdiam diri dalam hal ini dan kami memang memandang serius terhadap sindiket mengatur perlawanan Liga M dalam kalangan pemain.

Tan Sri Aseh turut menyatakan bahawa mereka akan turut melakukan tapisan terutamanya kepada pemain import bagi mengelakkan pemain yang pernah terlibat dalam gejala ini bermain di Malaysia.

“Tapisan yang dimaksudkan adalah kami akan menyemak sama ada pemain tersebut ada memiliki rekod jenayah lampau atau pernah mengatur perlawanan dan sebagainya. Kemudian setiap pengurus pasukan dan pemain perlu mengisytihar harta yang mereka miliki.”

Perkara ini dibangkitkan semula selepas dua orang pemain Sarawak didakwa terlibat dengan gejala mengatur perlawanan dalam aksi Liga Premier menentang Felcra FC sebelum ini.