Liga Super Malaysia

Datuk M. Karathu masih tunggu lamaran KAFA

Persoalan siapa bakal menjadi ketua jurulatih Kelantan masih tiada jawapan. Selepas seminggu ketua jurulatih Sathit Bensoh dilucutkan jawatan dan banyak nama dikaitkan dengan jawatan tersebut, nampaknya belum ada kata putus mengenainya.

Antara nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu.

Menurut laporan Harian Metro, Datuk M. Karathu masih menunggu jemputan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

“Seorang pegawai KAFA menghubungi saya, bertanya adakah saya berminat untuk menjadi jurulatih Kelantan. Sudah tentu saya berminat tapi perlu ada perbincangan.

“Tapi sehingga hari ini pegawai itu tidak menghubungi saya lagi. Saya masih menunggu tawaran rasmi daripada mereka. Jika mereka masih berminat, saya sedia berbincang.

“Saya dengar mereka juga sedang menimbangkan beberapa jurulatih lain untuk jawatan itu. Biarlah mereka berfikir dulu,” katanya yang dipetik dari laporan tersebut.

Datuk M.Karathu sebelum ini pernah membawa Kelantan menjulang Liga Super,dan Piala Sumbangsih pada tahun 2011.