Ketua jurulatih Perak, Mehmeh Durakovic berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 tanpa jaringan menentang Pahang malam semalam, meskipun dia berpendapat bahawa anak buahnya layak meraih tiga mata.
Kedua-dua pasukan turun beraksi dengan kesebelasan pertama yang kuat, namun tonggak mereka di bahagian serangan gagal menyerlah di Stadium Darul Makmur.
“Kami sepatutnya mampu menewaskan tuan rumah dengan beberapa peluang keemasan dimiliki pada separuh masa pertama tetapi pemain gagal melakukan penyudah tepat,” kata Durakovic kepada Arena Metro.
“Namun saya akui Pahang adalah pasukan yang bagus dan mereka berjaya mengawal keadaan untuk memastikan gawang tidak dibolosi,” tambah bekas jurulatih Selangor itu.
Meskipun bermain dengan lima pemain import malam semalam, skuad Perak gagal mengambil peluang dengan efektif, terutamanya Gilmar dan Wander Luiz.
Dengan satu mata di tangan, Perak akan berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk bertemu dengan Kedah pada malam Rabu ini, manakala Pahang pula akan turun berentap dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada malam yang sama.