Malaysia Liga Super Malaysia

Bekas pemain Gangwon FC sah perkuat pasukan Terengganu

Terengganu FC telah mengumumkan bahawa bekas pemain Gangwon FC, Lee Jun-Hyeob telah menyertai mereka secara rasmi untuk musim Liga Super 2018.

Dia telah menandatangani kontrak setahun dan akan layak membuat penampilan pertama untuk skuad Penyu apabila mereka berkunjung ke Kota Bharu untuk pertembungan ‘East Coast derby’ dengan Kelantan pada hari Selasa depan.

“Lee Jun- Hyeob kini secara rasmi telah menandatangani kontrak setahun untuk bersama Terengganu FC bertempat di pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu sebentar tadi,” kata Terengganu FC, melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman Facebook mereka.

Jun-Hyeob merupakan pemain Korea Selatan kedua yang telah dibawa masuk dalam masa beberapa minggu, selepas Kim Hyun-woo dilanda masalah kecederaan ketika latihan pra-musim mereka di Kemboja.

Untuk menggantikan Hyun-woo, Terengganu membawa masuk bekas bintang Ulsan Hyundai, Park Seung il namun selepas melihat aksinya dalam beberapa perlawanan persahabatan, Irfan Bakti membuat keputusan untuk mengugurkan pemain tersebut.

Kini, mereka telah melengkapkan kuota import Asian mereka dengan Jun-Hyeob, yang bakal digandingkan dengan Lee Tuck dan Kipre Tchetche di bahagian serangan mereka.