Malaysia Liga Super Malaysia

Bruno Suzuki bentuk semula gandingan dengan Lee Tuck di Terengganu FC I

Penyokong Terengganu akan akhirnya dapat melihat gandingan semula Lee Tuck dan Bruno Suzuki yang begitu hebat ketika bersama Negeri Sembilan.

Menurut khabar, Bruno Suzuki yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC II telah dinaikkan ke Terengganu FC menggantikan tempat Lee Jun-hyeob sebagai pemain import di pasukan Liga Super tersebut.

Pada musim lalu, Bruno Suzuki menjaringkan 11 gol daripada 19 penampilan untuk Negeri Sembilan selepas berhijrah daripada FC Gifu. Prestasi hebatnya menarik perhatian Terengganu yang meletakkannya di Terengganu FC II.

Nampaknya, bagi menambah sengat dan membentuk kembali gandingan mantapnya bersama Lee Tuck, Suzuki kini dinaikkan ke Terengganu FC I.

Selain Jun-hyeob, turut diturunkan ke Terengganu FC II adalah pemain tempatan, Abdul Malik Mat Ariff dan Shahrul Aizad Zulkifli kerana kurang cergas selepas pulih dari kecederaan.

Menurut Astro Arena, Terengganu juga mahu memperkuat pasukan mereka dengan mensasarkan dua pemain Felda United iaitu Muhammad Hadin Azman dan Ahmad Syamim Yahya, namun masih belum ada sebarang perbincangan dilakukan dengan Felda.