Luar Negara Eropah

Proprietari di Calcio: Percanggahan bola sepak Itali dan pemilik kelabnya

Heboh di seluruh dunia baru-baru ini dengan nama Presiden kelab PAOK Thessaloniki, Ivan Savvidis. Dalam satu perlawanan baru-baru ini, gol saat akhir PAOK dinafikan pengadil kerana pemain dikatakan berada dalam keadaan ofsaid. Disebabkan tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Savvidis dilihat masuk ke padang sambil menunjukkan sepucuk pistol yang berada pada jaketnya. Situasi itu menyebabkan aksi bola sepak Greece dihentikan untuk memberi laluan kepada siasatan lanjut.

Apabila bercakap soal pemilik serta presiden kelab, bola sepak Itali tentunya menarik perhatian. Ramai berpendapat bahawa bola sepak di negara Azzurri itu membosankan tetapi kadangkala ia mewujudkan kisah yang luar biasa.

Sikap penggemar bola sepak di sana yang kerap mewujudkan kisah tersendiri telah menyebabkan wujudnya perwatakan pemilik atau presiden kelab yang sukar ditemui di negara lain. Berikut adalah beberapa perwatakan menarik daripada individu-individu yang pernah atau masih memegang jawatan nombor satu dalam sesebuah kelab.

Berlagak dan angkuh

Sikap yang mudah dipadankan dengan bekas pemilik AC Milan, Silvio Berlusconi. Ahli perniagaan itu sangat mahukan dunia yang popular. Dia mengambil-alih AC Milan pada era 80 an berbekalkan satu niat, mahu dikenali di Itali dan dia berjaya. Kejayaan demi kejayaan yang diraih Rossoneri membolehkan namanya terus dipuja.

Perwatakan Berlusconi memacu Milan telah didorong oleh slogan vincere e vince (menang dan berkeyakinan) sehingga membuatkan corak permainan Rossoneri turut menarik perhatian ramai. Seperti dinyatakan sebelum ini, segala kejayaan yang diraih Milan adalah semata-mata untuk mengangkat martabat Berlusconi. Hasilnya, dia menjadi Perdana Menteri Itali sebanyak empat kali sejak memiliki Milan.

Bagaimanapun, apabila perniagaannya mula merosot, situasi itu turut diikuti dengan penurunan prestasi Milan. Begitu juga dengan dunia politiknya. Milan kini diambil-alih oleh ahli perniagaan dari China, Yonghong Li, namun perwatakannya jelas berbeza dengan gaya elit yang dimiliki individu bernama Silvio Berlusconi.

Perkara sama juga berlaku kepada pemilik Napoli, Aurelio de Laurentiis. Dia adalah seorang individu yang dahagakan sesuatu kewujudan dalam keangkuhan. Buktinya, dia sering mengumumkan perihal kontrak baru atau perpindahan pemain menerusi laman Twitter peribadi, lebih cepat berbanding akaun rasmi kelab. Berbekalkan latar belakang perfileman, dia mungkin cuba menyuntik elemen itu ke dalam bola sepak menerusi tontonan menarik kepada gaya permainan Napoli dan produser (pemilik kelab) yang menyokong perkara itu. Laurentiis juga pernah keluar dari undian jadual Serie A, berlalu pergi menaiki vespa yang tidak dikenali penunggangnya.

Laurentiis secara tidak langsung mengesahkan dirinya sebagai watak utama disebalik kejayaan Napoli dalam era bola sepak moden. Benar, sejak dia memegang tampuk pemerintahan pasukan pada 2004, Napoli perlahan-lahan muncul sebagai pasukan gergasi di Eropah.

Usahawan yang merendah diri

Keluarga Agnelli, pemilik Juventus adalah ahli perniagaan bidang automotif menggunakan nama Fabbrica Italiana Autombile Turin (FIAT). Sejak Juve menjadi milik mereka pada 1923 sehingga hari ini, skuad The Old Lady telah mendominasi bola sepak Itali dengan dua gelaran Liga Juara-Juara. Ikatan antara Juve dan Agnelli telah menuju ke usia satu abad, membuatkan hubungan itu sangat utuh.

Walaupun mereka ahli perniagaan yang berjaya, keluarga Agnelli tidak gemarkan publisiti serta populariti, sama seperti gaya permainan Juve. Walaupun diperkuatkan dengan pemain-pemain terkenal dunia pada setiap musim, Juve jarang mempamerkan corak permainan yang menarik. Prinsip pengurusan diterapkan melalui istilah efektif, ketepatan, kemudahan dan menyasarkan kemenangan menjadi teras kepada Juventus.

Andrea Agnelli adalah generasi keempat yang memegang kerusi presiden kelab. Walaupun sering menonton aksi melibatkan Juve, dia jarang bercakap mengenai apa-apa kejohanan, pasukan lawan atau isu perpindahan pemain.

Berbeza dengan Andrea, James Palotta (pemilik AS Roma) lebih kepada gaya Amerika Syarikat. Dia membeli sebuah kelab bola sepak atas alasan perniagaan yang melebihi cintanya kepada sukan itu. Tatkala Malcolm Glazer menggunakan Manchester United sebagai lubuk untuk melunaskan hutang, Palotta lebih kepada gaya John W. Henry-George Gillet (Liverpool). Dia jarang tampil di khalayak ramai. Disebalik istilah perniagaan, jelas Palotta bukan penggemar bola sepak, jadi tidak hairan dia jarang mendapatkan perhatian.

Watak pertengahan

Inter Milan telah lama dimiliki oleh dua keluarga Moratti, Angelo dan Massimo. Berbekalkan kekayaan perniagaan minyak, Massimo Moratti memimpin Nerazzurri selama hampir dua dekad bermula dari 1995 hingga 2013. Ketika di zaman pemilikannya, Inter tidak takut untuk mengeluarkan dana bagi mendapatkan pemain mahal bagi mengejar kejayaan. Inter satu-satunya pasukan Itali yang meraih kejayaan treble (Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara) dalam satu musim, iaitu ketika musim 2009/10.

Moratti menggunakan status sebagai presiden untuk sering bercakap tentang pasukannya, pasukan lawan dan perpindahan pemain tetapi dia tetap tidak begitu popular di laman sosial, ditambah dengan pendiriannya yang lebih suka merendah diri. Dia boleh diletakkan di antara Berlusconi dan Agnelli.

Kini, Inter telah dimiliki oleh individu berjaya dari China tetapi jawatan presiden diduduki oleh ahli perniagaan Indonesia, Erick Thohir. Thohir mempunyai perwatakan hampir sama Moratti. Dia tidak begitu dahagakan perhatian media, tetapi dalam masa sama sempat memberikan pandangan tentang pasukannya, perihal pihak lawan dan juga setiap spekulasi perpindahan pemain.

Manusia penuh kegilaan

Wakil dari dunia bola sepak Itali bagi kategori ini adalah Maurizio Zamparini dan Massimo Ferrero walaupun istilah kegilaan bagi mereka masing-masing berbeza. Zamparini terkenal dengan sikap suka memecat pengurus pasukan. Sudah begitu banyak nama yang dipecat olehnya sejak menjadi pemilik Palermo sehingga mencetuskan sejarah tersendiri.

Pada awal tahun 2017, jawatan presiden cuba diraih Paul Baccaglini, individu kacukan Itali dan Amerika Syarikat yang sering menarik perhatian dengan ukiran tatu pada badannya. Bagaimanapun, Baccaglini mengundurkan diri kerana masalah kewangan dan posisi itu masih dibiarkan oleh Zamparini. Mungkin jika dia masih suka menandatangani surat pemberhentian, dia sudah pun mencari pengganti baru.

Buat Ferrero, lagaknya lebih kepada aksi agresif semasa memegang Sampdoria. Dia gemar menjerit, mempamerkan keinginan dan kemahuan yang tinggi berbekalkan kain di kepala sehingga menjadi gimik yang sinonim buat nama Massimo Ferrero.

***

Masih banyak perwatakan pemilik atau presiden kelab lain di Itali. Seperti Claudio Lotito (pemilik Lazio) yang sering berkait dengan isu kontroversi dan sangat gemar dengan perbincangan jika ada pihak berminat dengan pemain Lazio. Antonio Percassi (presiden Atalanta) pula menarik perhatian kerana melayan kunjungan Borussia Dortmund di pentas Liga Europa.

Fenomena-fenomena itu agak jarang dapat dilihat di negara lain. Di England, hanya Roman Abramovich dan Sheikh Mansour yang sering dipaparkan pada media, begitu juga dengan Sepanyol yang sering dihidangkan dengan wajah Josep Bartomeu dan Florentino Perez. Di Perancis, hanya ada satu individu iaitu Nasser Al-Khelaifi.

Berbeza dengan Itali, tingkah laku gila yang ditunjukkan Ferrero amat jelas walaupun hanya memiliki pasukan pertengahan seperti Sampdoria. Ia bukti paling mudah menunjukkan bahawa perwatakan pemilik atau presiden kelab di Itali mempunyai perbezaan ketara dengan gaya bola sepak mereka yang agak membosankan. Paradoks adalah perkataan yang sesuai apabila perwatakan yang kuat dan sifat membosankan telah bergabung, lalu muncul sebagai satu daya penarik.

Untuk menyaksikan perlawanan Serie A secara ‘Live on HD’, sila layari laman web rasmi Sportsfix.TV!