Kolum Malaysia

Luahan hati seorang penyokong kepada barisan pemain Harimau Malaya

Betapa hebatnya desakan penyokong sehingga mampu menukar pemain di skuad kebangsaan. Bukan satu pemain, tetapi sembilan orang pemain dipanggil untuk menggantikan 14 pemain yang dilepaskan, kerana penyokong mendesak skuad Harimau Malaya menggunakan pemain baru.

Apa lagi agaknya yang boleh didesak oleh penyokong selepas ini? Mendesak agar Malaysia mengadakan perlawanan persahabatan menentang Argentina atau England? Mendesak agar setiap pembelian tiket disertai dengan kombo makanan dan minuman secara percuma? Atau mungkin penyokong sendiri boleh mendesak untuk menukar taktikal ketika permainan?

Boleh dilihat rata-rata penyokong Malaysia di media sosial meluahkan kekecewaan mereka selepas Malaysia terikat 2-2 menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan pada hari Khamis lalu.

Tidak cukup dengan kekecewaan itu, mereka dikejutkan pula dengan berita 14 orang pemain JDT dilepaskan untuk memberi peluang kepada 9 orang pemain beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Lebanon minggu depan.

Mungkin terdetik persoalan di minda mereka selepas apa yang berlaku. Tidakkah ada rasa bangga di kalangan pemain sekarang untuk menyarung jersi kebangsaan? Apakah jersi Harimau Malaya itu hanya sekadar pakaian kepada pemain-pemain ini? Tidakkah pemain-pemain sekarang tahu bagaimana pemain-pemain dahulu cukup bangga dan merasa bertuah kalau diberi peluang menyarung jersi kebangsaan?

Penyokong ada hak meluahkan kekecewaan mereka terhadap keputusan perlawanan menentang Mongolia. Luahan kekecewaan itu bukan tanda mereka tidak menyokong. Kerana tanda sayang itulah mereka beramai-ramai turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyokong skuad kebangsaan.

Mereka inilah sanggup turun, membelanjakan wang untuk membeli tiket dan tambang ke stadium selepas penat berkerja seharian. Bukan mudah menjadi penyokong. Kalau pemain dibayar untuk bermain, penyokong membayar untuk melihat pemain bolasepak bermain. Ada yang sanggup mengikat perut untuk melihat pasukan mereka beraksi. Kalau mereka ini diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, pastinya mereka sanggup bermain dengan percuma.

Penyokong hanya mahu melihat semua pemain yang menyarung jersi kebangsaan beraksi sepenuh hati. Tiada drama, yang ada cuma semangat. Mereka mahu rasa bangga melihat skuad kebangsaan mereka. Mereka mahu terhibur, mereka mahu melihat pemain cuba menggelecek pemain lawan, melihat cubaan ke arah gol dan pertahanan melakukan bentesan keras tapi bersih.

Kepada pemain-pemain bolasepak Malaysia, berbanggalah jika dapat menyarung jersi kebangsaan, kerana di luar sana ada ramai penyokong yang hanya mampu bermimpi untuk menyarung jersi keramat itu.