Liga Super Malaysia

Pulau Pinang berjaya ikat bekas pemain FC Seoul

Pulau Pinang FA (FAP) telah mengumumkan bahawa bekas pemain FC Seoul dan Jeonbuk Hyundai Motors, Kang Seung-jo akan menyarung jersi mereka untuk musim 2018.

Pengumuman tersebut dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial FAP, kurang daripada 24 jam selepas pemain tengah itu menjaringkan gol untuk membantu skuad Harimau Kumbang menewaskan Perlis dalam perlawanan persahabatan.

Bekas pemain skuad B-20 Korea Selatan ini dibawa masuk untuk menjalani sesi ujian bersama Pulau Pinang beberapa hari lepas dan dalam masa yang singkat, dia berjaya menarik perhatian ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan juga pihak pengurusan FAP.

Pemain yang berusia 31 tahun itu sah menjadi pemain import ketiga Pulau Pinang musim ini, selepas mereka mengekalkan Sanna Nyassi dari skuad musim lepas dan mengikat bekas pertahanan Selangor, Ugo Ukah beberapa hari lepas.

Malam semalam, Pulau Pinang berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas Perlis melalui gol Kang (minit ke-40), Alafi Mahmud (minit ke-49) dan satu lagi pemain import yang sedang menjalani sesi ujian, Ryan Johnson (minit ke-65). Dua gol Perlis pula dijaringkan oleh Asyraaf Amil (minit ke-26) dan Ikmal Ibrahim (minit ke-63).