Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan sasar jual RM2 juta jersi baharu bagi musim 2022

Kelantan FC menyasarkan hasil jualan jersi baharu sebanyak RM2 juta bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Ini selepas The Red Warriors mencatatkan jualan jersi sebanyak RM1 juta pada tahun lalu.

Sasaran itu dibuat berdasarkan penetapan kerajaan yang membenarkan penyokong bola sepak hadir ke stadium menyaksikan perlawanan secara fizikal.

“Kita berharap dengan rekaan jersi yang menarik,” kata pemilik Kelantan, Norizam Tukiman kepada Bernama.

“Ia mampu menarik minat penyokong setia pasukan untuk memiliki koleksi jersi sekali gus dapat membantu kewangan pasukan.

“Setiap jersi direka khas dan setiap inci mempunyai logo TRW Kelantan selain jahitan kolar juga eksklusif bagi menyukarkan jersi kita ditiru.”

Kelantan FC memperkenalkan tiga warna jersi iaitu merah, biru dan hitam untuk digunakan oleh pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini.