Liga Super Malaysia Berita

Bung Moktar dilantik pemangku presiden Sabah FA

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku presiden baharu.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi SAFA yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden SAFA Datuk Abdul Rahman Zakaria yang juga memangku jawatan presiden persatuan berkenaan sebelum ini.

“Kita telah berjumpa dengan Bung,” katanya kepada Bernama.

“Beliau bersetuju dilantik sebagai pemangku presiden sebelum dilantik secara sah sebagai Presiden SAFA dalam Mesyuarat Agung SAFA akan datang.

“Kita tahu beliau mempunyai pengalaman kerana pernah menjadi penaung pasukan bola sepak Felcra FC beberapa tahun lepas.”

Tambah Abdul Rahman, Datuk Verdon Bahanda akan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC.

“Kita serahkan Verdon untuk mengurus Sabah FC dan kita SAFA mengurus di bahagian induk kerana sekiranya induk bermasalah pasukan Sabah FC juga akan bermasalah.”