Meskipun bukan lagi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap prihatin dengan sebarang isu yang membabitkan bola sepak negara.
Malah, beliau menyampaikan pesanan kepada presiden baharu, Datuk Hamidin Mohd Amin supaya menyelesaikan isu yang melibatkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Katanya, tiada sebarang kerjasama baik antara NFDP dan FAM menyebabkan perancangan untuk pembangunan akar umbi di seluruh negara terbantut.
“Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan tidak memainkan peranan dalam memastikan kerjasama yang sepatutnya antara FAM dan juga NFDP.
“Kita ada Pengarah Teknikal, Peter de Roo tetapi beliau tidak diberikan banyak ruang dan juga kerjasama kerana ramai yang berada dalam NFDP cuba menguruskan program itu seperti milik persendirian. Jadi kita hanya boleh memberi pandangan dan juga nasihat.
“Malah, maklum balas mereka juga agak negatif pada masa itu. Beberapa individu dalam NFDP tidak memberi sokongan sepenuhnya dan mereka juga mempunyai masalah dengan persatuan bola sepak negeri seperti tidak menyediakan kemudahan kepada pihak terbabit untuk menjalankan tugas,” katanya selepas berlangsungnya Kongres FAM ke-54.
Justeru, Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu berharap FAM yang kini diterajui presiden baharu dapat menjalin kerjasama yang baik dengan NFDP memandangkan dua badan ini berkongsi agenda dalam memajukan bola sepak negara.
“Saya mengharapkan presiden baharu FAM akan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan yang baharu serta memastikan ada sikap kerjasama serta saling menghormati antara satu sama lain dalam FAM mahupun NFDP.
“Tanpa mengira dari organisasi mana kita datang, agenda di sini sememangnya jelas iaitu untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dalam bola sepak tanah air.
“Di sini, FAM, NFDP, KBS dan juga semua persatuan bola sepak harus beri sokongan penuh untuk memastikan agenda dan misi kita dapat diterapkan. Kalau kita asyik berkelahi sampai bila-bila pun tak ke mana,” katanya.