Malaysia Berita

Masalah Kecederaan Belenggu Kem JDT

Perlawanan aksi Piala Sumbangsih pada 2 Februari di Larkin nanti diantara juara Piala Malaysia, Perak dan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat sedikit terencat apabila dikhabarkan beberapa skuad Harimau Selatan mengalami kecederaan.

Perkara ini disahkan oleh pengendali JDT, Luciano Figuero yang mengakui terpaksa merehatkan beberapa pemain utama semasa aksi terakhir siri jelajah pramusim di Thailand menentang PTT Rayong FC.

Pada aksi terakhir menentang PTT Rayong FC, skuad Harimau Selatan berjaya mencatat kemenangan 3-1. Manakala dua aksi awal menantang Ratchaburi Mitr Phol FC, pasukan beliau tewas 1-2 kepada tuan rumah sebelum seri 2-2 dengan Bankok United.

Biarpun mengalami masalah kecederaan, beliau tetap percaya dengan kemampuan pemainnya dan yakin akan dengan segala perancangan yang telah diatur.

Memetik kata-kata beliau dilaman rasmi Facebook, Johor Southern Tiger, “Segala perancangan kami berjalan lancar dan baik. Ia sama seperti perlawanan- sebelum ini di mana kami melakukan pertukaran pemain dalam skuad dan memberi Mauricio Nascimento peluang bermain separuh masa disebabkan dia belum pulih seratus peratus dari kecederaan.

“Aaron Niguez juga baru pulih dari kecederaan dialami pada perlawanan lepas namun belum seratus peratus pulih, manakala Natxo Insa pula tidak diturunkan dalam perlawanan ini kerana turut cedera di bahagian belakang.

“Oleh itu, kami teruskan bermain untuk melengkapkan persiapan pasukan dalam pramusim ini,” katanya.

Skuad Harimau Selatan dilihat bakal mempertahankan gelaran Liga Super buat kali keenam apabila berjaya mendapatkan beberapa nama besar. JDT juga dalam misi melepasi peringkat kumpulan pada kempen Liga Juara-Juara AFC selepas di undi di dalam Kumpulan E bersama-sama dengan kelab daripada Korea Selatan, Gyeongnam FC.

Justeru, beliau tidak mahu memaksa para pemain kerana ia dikhuatiri akan merencatkan lagi perancangan mereka.

“Kami tidak mahu terlalu memaksa pemain memberikan seratus peratus di atas padang kerana kami mempunyai kurang dua minggu sahaja lagi untuk mempersiapkan pasukan ini bagi perlawanan pertama liga iaitu Piala Sumbangsih menentang juara Piala Malaysia, Perak.

“Kami perlu memastikan tiada pemain mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu mengambil risiko pemain mengalami lebih banyak kecederaan sebelum liga bermula,” katanya.