Malaysia Berita

FAM Berkeras Tidak Benarkan Terengganu City Bertanding

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertegas tidak akan membenarkan Terengganu City FC (TCFC) beraksi pada kempen Liga Perdana musim ini berikutan masalah tunggakan gaji yang dialami kelab itu musim ini.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam berikutan wujud kebimbangan bahawa masalah tunggakan gaji akan berulang.

TCFC sebelum ini gagal melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM997,100 kepada pemain dan juga pegawai TCFC. FAM juga menyatakan akan menggunakab hadiah wang tunai yang dibekukan selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan wang deposit penyertaan TCFC sebagai penyelesaian hutang tunggakan gaji terbabit.

Memetik kata-kata beliau kepada Berita Harian, Stuart menjelaskan, “Berdasarkan perkiraan dibuat, seramai 23 pemain dan pegawai akan mendapat wang tunggakan gaji berkenaan secara rata yang akan dibayar oleh FAM terus kepada pemain dan pegawai terbabit.

“Namun, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang kepada pemain dan pegawai terbabit jika mereka tidak mahu menerima implikasi lebih besar selepas ini.

“Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar tetap berkeras dengan pendirian mereka mahu FAM membenarkan mereka bersaing dalam kempen Liga Perdana 2019 jika mahu masalah tunggakan gaji diselasaikan atas alasan mereka layak kerana muncul juara Piala FAM pada 6 September 2018.

“Justeru, diharap TCFC tidak terus menuding jari kepada pihak lain dan menetapkan pula syarat yang perlu dituruti FAM, sebaliknya mereka perlu mengambil sikap bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan baki hutang sedia ada itu mengikut tarikh telah ditetapkan iaitu sebelum atau pada 19 Februari 2019.

“Tiada siapa perlu disalahkan dalam hal ini selain daripada TCFC kerana jika mereka berusaha menyelesaikan tunggakan hutang yang ada ketika itu sebelum atau pada 29 September 2018, sudah tentu TCFC sudah boleh beraksi pada Liga Perdana 2019,” katanya kepada Berita Harian.