Piala Dunia 2018 Santai

Barisan pemain yang harus bersara di peringkat antarabangsa selepas Piala Dunia 2018

Bagi pemain yang berada dalam senarai ini, perjalanan mereka di Russia 2018 telah berakhir. Untuk kebaikan mereka sendiri atau semua peminat bola sepak, sebaiknya mereka membuat keputusan untuk mengakhiri karier bersama skuad kebangsaan.

Siapa yang kami maksudkan?

Lionel Messi

Bintang Argentina ini pernah menyatakan untuk bersara daripada peringkat antarabangsa tetapi akhirnya kembali untuk membawa pasukannya ke Piala Dunia 2018. Kegagalan Albiceleste di pusingan kedua Piala Dunia kali ini mencetuskan persoalan adakah Messi akan benar-benar bersara? Peminat bola sepak di seluruh dunia pasti tidak mahu ia berlaku tetapi mungkin dia patut melakukannya untuk menenangkan diri dan memberi laluan kepada generasi baru.

Cristiano Ronaldo

Sama seperti Messi, sudah tiba masanya untuk Ronaldo melepaskan pasukan kebangsaan Portugal di bawah tanggungjawab kepada rakan-rakan yang lebih muda. Dia sudah mencatatkan nama dalam sejarah sebagai kapten pasukan yang menjuarai EURO 2016 sehingga tidak perlu mengejar cita-cita ke Piala Dunia 2022. Malah, aksi pemain dengan jolokan CR7 ini masih boleh dinikmati di peringkat kelab.

Sergio Ramos dan Gerard Pique

Selain aksi buruk David De Gea, penampilan tidak meyakinkan Sepanyol dipengaruhi oleh dua bek tengah yang telah melewati prestasi terbaik. Ramos dan Pique sememangnya menjadi ikon buat kelab masing-masing tetapi sudah tiba masa untuk La Roja mempertaruhkan nama-nama baru dan muda untuk menggantikan gandingan yang wujud sejak 2010 ini.

Mario Gomez

Bukan, ini bukan Mario Gomez pengendali Persib Bandung, sebaliknya penyerang senior skuad Jerman. Keputusan pengendali, Joachim Low, untuk membawa Gomez ke Piala Dunia 2018 dan mengabaikan Leroy Sane terbukti salah. Kini, sudah tiba masa untuk Gomez yang berusia 33 tahun memberi laluan kepada penyerang masa depan Die Mannschaft.

Branislav Ivanovic

Walaupun sudah berusia 34 tahun, Ivanovic masih diberi tugas untuk mengisi posisi bek kanan Serbia. Namun, setelah kehilangan lilitan ketua pasukan, pemain ini tidak lagi dilihat sebagai pemain yang tidak boleh digantikan. Kini adalah tempoh terbaik untuknya mengundur diri daripada skuad kebangsaan, lebih-lebih lagi dia juga telah secara rasmi muncul selaku pemain dengan penampilan terbanyak bersama Serbia.

Eiji Kawashima

Banyak pihak mempersoalkan mengapa penjaga gol berusia 35 tahun ini masih mengawal pintu gol Jepun di Piala Dunia 2018. Namun, Kawashima membuktikan dirinya dengan persembahan hebat ketika berdepan Belgium di pusingan kedua. Jika ingin diingati sebagai legenda Jepun, sekarang ada masa terbaik buat pemain Metz ini untuk memberi laluan kepada penjaga gol muda The Blue Samurai.