Ketua jurulatih Kelantan, Fajr Ibrahim secara tiba-tiba menghilangkan diri dan tiada sesiapa yang mengetahui di mana beliau berada ketika ini, meresahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Di saat yang genting ini, Kelantan memerlukan pemimpin yang boleh mengembalikan semangat para pemain setelah mengalami kekalahan demi kekalahan yang menyebabkan pasukan Pantai Timur itu jauh terperosok di kedudukan bawah Liga Super.
Disebabkan itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan melantik Yusri Che Lah untuk mengendalikan pasukan buat sementara waktu.
Katanya, pengendali kelahiran Syria itu masih belum memaklumkan kepada Kafa bagi menjelaskan misteri kehilangannya.
“Fajr masih gagal dikesan. Kita sudah kesuntukan masa. Jadi segala tugas Fajr akan diambil alih Yusri Che Lah.
“Beliau masih belum hubungi atau jawab WhatsApp saya,” katanya kepada mStar Online.
Malah, Bibi tidak menolak kemungkinan Fajr sudah pulang ke Damsyik, Syria.
“Mungkin, lagipun kita sudah bayar gajinya,” katanya.
Yusri pasti akan berdepan tugas sukar menentang Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.
Bagaimanapun, Bibi berharap para pemain kekal fokus dan terus berusaha untuk beroleh kemenangan selepas tewas empat perlawanan berturut-turut.
“Saya minta pemain supaya jangan putus asa dan teruskan bermain. Saya percaya anda boleh lakukannya kerana tiada apa yang mustahil,” katanya.
Kelantan menduduki tangga tercorot liga selepas hanya mengutip lapan mata daripada 13 perlawanan setakat ini.