Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan borong pemain di hari terakhir jendela perpindahan Liga Super

Semalam tertutuplah sudah jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini. Ada pasukan membuat rombakan besar, ada yang cuma membawa masuk seorang pemain.

Biasa kita melihat dan mendengar kehangatan di hari terakhir jendela perpindahan di Eropah, rupanya di Malaysia tidak kurang juga kehangatannya.

Paling menjadi tumpuan adalah pasukan Kelantan yang telah membawa masuk beberapa pemain termasuk pemain import bagi memperkuat pasukan di hari terakhir jendela perpindahan.

Lazarus Kaimbi, penyerang import dari Namibia telah dibawa masuk bagi memperkuat barisan serangan Kelantan. Pemain berusia 29 tahun itu pernah beraksi dengan tiga kelab Thailand, iaitu Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi.

Sebelum ini, seorang lagi pemain import, Bakhtiar Duyshobekov dari Kyrgyzstan juga telah diumumkan menyertai Kelantan. Pemain berusia 23 tahun itu akan beraksi di bahagian tengah untuk The Red Warriors.

Pemain pertahanan Singapura, Madhu Mohana juga dikhabarkan telah menyertai skuad Kelantan bagi mengisi kekosongan slot Asean yang ditinggalkan oleh Ferdinand Sinaga. Namun, setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada Kelantan.

Selain daripada pemain import, penjaga gol Melaka United, Faridzuean Kamarudin juga telah menyertai Kelantan dengan pemain bek Kelantan, Faris Shah berpindah ke Melaka United.

Selepas beberapa perlawanan menggunakan tenaga muda dan dua orang pemain import, nampaknya Kelantan kini bersedia memberikan tolakan terakhir bagi memastikan mereka kekal di Liga Super.
Buat masa ini, Kelantan terpuruk di tangga terbawah Liga Super selepas melalui separuh musim pertama yang mengecewakan. Prestasi mereka begitu teruk sehingga ada peminat yang mahukan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan meletakkan jawatan.