Luar Negara Piala Dunia 2018

Brazil kalah dengan pasukan hebat, kata Miranda

Kapten Brazil, Miranda akur dengan kekalahan pasukannya kepada Belgium, pasukan yang dianggap jauh lebih hebat daripada mereka.

Juara dunia lima kali itu dikejutkan oleh Belgium 2-1 di Arena Kazan, di sini hasil jaringan sendiri Fernandinho pada minit ke-13 dan rembatan padu Kevin de Bruyne pada minit ke-31.

Brazil menjaringkan satu-satunya gol pada minit ke-76 menerusi tandukan pemain gantian, Renato Augusto.

“Kami meninggalkan Piala Dunia ini dengan kesedihan,” kata Miranda.

“Kami tewas kepada pasukan hebat yang memanfaatkan dua peluang mereka untuk menghasilkan dua gol,” katanya.

Namun Miranda yakin barisan pemain muda negaranya yang tersingkir di suku akhir Piala Dunia mampu memenangi edisi akan datang.

“Kami adalah kumpulan pejuang yang dibarisi ramai pemain muda dan mampu memenangi edisi Piala Dunia selepas ini.

“Pasukan kami sudah berusaha, berjuang hingga ke saat akhir dan pulang dengan maruah kerana kami sudah memberikan apa yang kami ada,” katanya.

Kekalahan kali ini bagaimanapun jauh lebih baik daripada kekalahan memalukan di Belo Horizonte empat tahun lalu di mana Brazil dibelasah 7-1 oleh Jerman di peringkat separuh akhir.

Skuad bimbingan Tite hampir mengheret permainan ke masa tambahan tetapi percubaan Neymar ditepis keluar oleh penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois yang beraksi cemerlang menafikan deretan percubaan Brazil.

Belgium bakal bertemu Perancis pada perlawanan suku akhir, yang menewaskan Uruguay 2-0 pada aksi pertama suku akhir.-AFP