Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 7 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia.

Situasi itu membuatkan setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Kali ini, terdapat satu gosip yang mengejutkan daripada bintang terkemuka di dunia. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Dimitri Payet

West Ham United dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan semula khidmat pemain tengah Perancis ini selepas kurang dari dua bulan Payet meninggalkan England. Pemain berusia 31 tahun itu telah mendapat perhatian Manuel Pellegrini dan ketika ini, The Hammers hanya perlu menyediakan sejumlah wang yang ditawarkan Marseille untuk menjadikan perpindahan itu satu realiti.

Gelson Martins

Sebelum ini, Football Tribe pernah menyajikan transfer rumours mengenai pemain Portugal ini dengan minat daripada Everton. Selain The Toffees, antara pasukan lain yang turut berminat dengan pemain sayap yang menamatkan kontrak bersama Sporting Lisbon ini adalah Arsenal dan Liverpool. Bagaimanapun, kini Atletico Madrid muncul nama baru yang dikhabarkan menarik minat Martins. Jika dia ke Sepanyol, Lazio juga pasti menggigit jari kerana mereka juga inginkan khidmatnya.

Jack Grealish

Tottenham Hotspur dilaporkan telah memenangi perebutan untuk mendapatkan pemain muda ini. Baru berusia 22 tahun, Grealish mempamerkan aksi cemerlang bersama Aston Villa pada musim lalu. Walaupun kini dia berada dalam kem latihan Villa di Portugal, Grealish dikatakan hanya menunggu masa untuk kembali ke England demi melengkapkan proses perpindahan bagi membolehkannya kembali beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris.

M’Baye Niang

Niang yang menunjukkan prestasi mengagumkan bersama Senegal di bawah kendalian Aliou Cisse ketika Piala Dunia di Russia telah menarik minat The Gunners. Pemain yang kini menyarung jersi Torino ini ternyata menjadi antara sasaran yang disuarakan oleh pihak pengurusan Arsenal. Bagaimanapun, Unai Emery pastinya akan berdepan saingan daripada Monaco, Everton, Marseille dan Nice untuk mendapatkannya.

Cristiano Ronaldo

Bintang Real Madrid ini mencuri tumpuan apabila dikatakan semakin hampir untuk meninggalkan Santiago Bernabeu bagi menyertai Juventus pada musim panas ini. Skuad The Old Lady telah menyediakan dana berjumlah GBP88 juta untuk memastikan pemenang lima kali Ballon d’Or ini berhijrah ke Itali, namun perkembangan Ronaldo itu turut dipantau oleh bekas majikan, Manchester United. Tatkala Ronaldo dilihat semakin hampir untuk menandatangani kontrak tiga tahun di Turin, United sedang mengintai peluang untuk mendapatkannya pada saat akhir.