Piala Dunia 2018 Luar Negara

‘Football’s Coming Home’ – Lagu yang mengajar England untuk berani bermimpi

Perjuangan skuad England melangkah ke suku akhir Piala Dunia 2018 kembali menaikkan kembali populariti lagu yang telah berusia 22 tahun berjudul ‘Three Lions’. Lagu yang memiliki frasa popular dan penuh kecintaan mereka, ‘Football’s Coming Home’ ini menggambarkan harapan penyokong-penyokong skuad England ketika ini.

Lagu ini pertama kali dipopularkan oleh band rock alternatif terkenal dari England, The Lightning Seeds. Band indie dari Liverpool ini berkolaborasi dengan pelawak, David Baddiel dan Frank Skinner, untuk menghasilkan sebuah karya yang masih bergema selama hampir tiga dekad.

Jika anda pernah melihat video muziknya, anda akan faham mengapa lagu ini muda melekat dalam diri penyokong-penyokong England. Dalam versi 1998, lagu ini memaparkan tayangan asal sepakan penalti Gareth Southgate yang gagal ke separuh akhir Piala Eropah 1996. Kegagalan pemuda yang kini merupakan pengendali skuad The Three Lions itu ternyata meninggalkan kesan kerana penyokong-penyokong harus menerima kenyataan bahawa pasukan kebangsaan mereka gagal ke final Piala Eropah di laman sendiri.

Melalui lagu yang ditulis oleh Baddiel dan Skinner, vokalis The Lightning Seeds, Ian Broudie, mengajak para pendengar dan penduduk England untuk tidak berputus asa. Selepas aksi menyedihkan dalam sepakan penalti Southgate, lagu ini meletakkan lirik berbunyi ‘We still believe it’s coming home, football’s coming home!’

Walaupun mesejnya positif dan cukup catchy, lagu ini pada awalnya menerima banyak kritikal ketika diputarkan pertama kali di radio-radio di England. The Lightning Seeds dianggap hanya mempergunakan euphoria hooliganisme di negara itu pada lewat 90-an. Bekas pemain tengah England, Paul ‘Gazza’ Gascoigne, merupakan salah seorang pemain yang menolak lagu tersebut: “Ketika mula mendengar lagu tersebut, pemain-pemain England berfikir, lagu apakah yang teruk sebegini?” kata Gazza menurut Telegraph.

Malah, The Lightning Seeds sendiri memanfaatkan pesimisme beberapa peneliti untuk dijadikan sebahagian daripada lagu. Dalam beberapa versi video muziknya, mereka sengaja menyertakan beberapa pendapat peneliti bola sepak England, “England tidak cukup kreatif, kami tidak tampil positif,” mendengar suara Trevor Brooking dan “Kita akan terus mempamerkan hasil yang buruk,” hasil suara Jimmy Hill. Pada akhir lagu, barulah kata-kata positif dimasukkan, seperti seruan pengulas ikonik, John Motson, “England berjaya melakukan keajaiban dalam minit terakhir di masa tambahan!” Seruan itu tidak akan dilupakan penyokong England kerana ia disertakan dengan jaringan gol David Platt ketika bertemu Belgium di Piala Dunia 1990.

Pelbagai kritikan dan pendapat tidak menghalang lagu tersebut menduduki carta teratas UK Singles Chart pada 1996. Kejayaannya turut membantu menaikkan Britpop dengan The Lightning Seeds menjadi salah satu nama yang menjadi perhatian. Menjelang perlawanan skuad England di Piala Dunia 1998, band tersebut mengeluarkan versi alternative yang bertajuk ‘Three Lions 1998’.

Dalam versi itu, Broudie dan kedua-dua pelawak menambahkan kata-kata “Ince ready for war” (Paul Ince bersedia untuk berperang) dan “Shearer certain to score” (Alan Shearer sedia menyumbat gol). Seperti diketahui, Piala Dunia 1998 turut berakhir dengan kekecewaan, selepas mereka ditewaskan menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Argentina. Namun, frasa “Football’s Coming Home” yang membuatkan Broudie dan rakan-rakannya popular bergema ke seluruh England selama hampir tiga dekad.

Selepas kad merah David Beckham di Piala Dunia 1998 dan Wayne Rooney di Piala Dunia 2006, tewas dalam penentuan sepakan penalti Piala Dunia 2006, tewas di tangan Jerman pada 2010 serta gagal melepasi peringkat kumpulan di Piala Dunia 2014, keyakinan The Lightning Seeds, Baddiel dan Skinner ternyata menular dan merasuk penduduk England. Seiring dengan kejayaan Harry Kane dan rakan sepasukan yang layak ke suku akhir Piala Dunia 2018, “Football’s Coming Home” menjadi antara jampi yang meninggalkan kesan dan menunggu masa untuk menjadi kenyataan.

Baddiel dan Skinner selaku penulis lagu amat faham bahawa penantian prestasi skuad England tidak bermula pada 1996 tetapi lama sebelum itu. Dalam lagu ‘Three Lions”, mereka menyelitkan lirik ‘thirty years of hurt never stop me dreaming’ (rasa sakit selama tiga puluh tahun tidak membuatku berhenti bermimpi). Jika mengikut tahun 2014, ia menjadi ‘fifty years of hurt never stop me dreaming’ (rasa sakit selama lima puluh tahun tidak membuatku berhenti bermimpi).

Tidak kira di kedai makan, tempat orang ramai atau di media social, frasa “Football’s Coming Home”, atau “It’s Coming Home” menjadi tiga frasa paling popular buat skuad England ketika ini, melebihi “Winter Is Coming”, frasa terkenal daripada siri Game of Thrones. Tanggapan buruk yang sering menyelubungi skuad England sebelum ini berubah kepada keyakinan bahawa Piala Dunia akan kembali ke tanah air mereka.