Luar Negara Berita

Shahrel Fikri bantu Nakhon Ratchasima raih kemenangan ke atas Ratchaburi

Pasukan Thailand yang diwakili Shahrel Fikri berjaya meraih kemenangan berharga petang ini selepas menewaskan Ratchaburi 2-1 di 80th Birthday Stadium.

Jaringan sendiri yang dilakukan oleh Philip Roller pada awal babak kedua, memberikan kelebihan 0-1 kepada Nakhon Ratchasima, sebelum Nerijus Valskis menyamakan kedudukan bagi pasukan Ratchaburi pada minit ke-79.

Walau bagaimanapun, skuad Swat Cat hanya mengambil masa satu mini untuk menjaringkan gol kedua, apabila Leandro Assumpscao meledak pada minit ke-80.

Gol tersebut akhirnya membantu Nakhon meraih tiga mata penting dan sekaligus menduduki tempat ke-7 di pentas Liga Thai 1.

PRESTASI SHAHREL FIKRI

Selepas melalukan debut menentang Sukhothai FC minggu lepas, Shahrel Fikri turun beraksi di hadapan penyokong tuan rumah buat kali pertama. Beliau digandingkan dengan penyerang Brazil, Leandro Assumpscao dalam formasi 4-4-2, manakala playmaker pasukan, Nebojsa Marinkovic pula beraksi bersama naib ketua pasukan, Methee Thaweekulkarn di bahagian tengah.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan bermain dengan corak yang lebih defensif, dan tidak begitu agresif dalam melancarkan serangan. Shahrel Fikri pula dikawal dengan ketat oleh pertahanan Ratchaburi, sekaligus menyusahkan tugasnya untuk membuka akaun gol bersama Nakhon Ratchasima.

Situasi ini bersambung pada babak kedua, apabila pertahanan Ratchaburi terus mengekang kemaraan Shahrel Fikri. Malah, bekas pemain PKNP itu juga nampak tidak begitu selesa beraksi dalam formasi 4-4-2. Apabila beraksi di Liga Malaysia, Shahrel sering digunakan dalam formasi 4-2-3-1, di mana beliau berfungsi sebagai pemain sayap kanan.

Shahrel akhirnya dikeluarkan pada minit ke-65, tetapi aksi malam ini sudah tentu akan meningkatkan tahap keyakinan beliau untuk perlawanan seterusnya, di mana Nakhon Ratchasima akan turun menentang Muangthong United pad 15 Julai depan.