Kajian & Analisis Malaysia

Analisis: Pahang berjaya julang Piala FA, faktor kualiti menjadi perbezaan ketara

Pahang berjaya menjulang Piala FA 2018 selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. Jaringan Nor Azam Azih pada babak pertama dan juga sepakan penalti Patrick Cruz pada babak kedua cukup untuk membantu skuad Tok Gajah meraih piala pertama mereka sejak tahun 2014.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tadi:

PERBEZAAN KUALITI AKHIRNYA MEMBUNUH SELANGOR

Walaupun skuad muda Selangor wajar diberi pujian atas kejayaan mereka melangkah ke pentas final Piala FA musim ini, tetapi perbezaan kualiti di antara mereka dan Pahang akhirnya memainkan peranan yang cukup besar malam tadi. Pasukan Tok Gajah mempunyai empat opsyen besar di bahagian serangan, iaitu Norshahrul, Patrick Cruz, Mohamadou Sumareh dan juga Austin Amutu, manakala Selangor pula hanya bergantung kepada satu individu, iaitu Rufino Segovia. Perbezaan kualiti ini memberi dimensi yang berbeza buat pasukan Pahang, setiap kali mereka cuba melancarkan serangan. Anak buah Dollah Salleh bukan sahaja setakat mengawal tempo perlawanan, malah mereka juga mendominasi segala percubaan yang dilakukan dalam perlawanan ini. Boleh dikatakan sebuah pertembungan yang 'one-sided'.

DI MANAKAH RUFINO SEGOVIA?

Hakikat yang perlu diterima oleh setiap penyokong Selangor adalah Rufino Segovia merupakan satu-satunya opsyen mereka di bahagian serangan. Lihat sahaja pertembungan separuh akhir tempoh hari - Rufino terlibat dalam keenam-enam gol yang dijaringkan oleh skuad Red Giants. Tetapi malam ini, beliau gagal memberi sebarang impak dalam perlawanan ini apabila dikawal dengan ketat oleh Safuwan Baharuddin. Setiap pergerakan beliau dipantau dengan rapi oleh Safuwan, dan setiap pertempuran udara dimenangi oleh Bunyamin Umar. Formula Pahang untuk perlawanan ini cukup mudah - ketepikan Rufino Segovia untuk mengekang segala harapan Selangor.

KEBANGKITAN NORSHAHRUL IDLAN

Antara faktor yang membantu Pahang mara ke pentas final adalah kebangkitan Norshahrul Idlan, terutamanya di peringkat separuh akhir apabila beliau menjaringkan gol kemenangan menentang PKNP. Malam ini, Norshahrul diletakkan di bahagian sayap kiri, di mana beliau memainkan peranan yang cukup besar dalam mengucar-kacirkan pertahanan Selangor dengan larian-larian bahaya sepanjang 90 minit perlawanan. Malah, Norshahrul juga beberapa kali hampir menjaringkan gol untuk skuad Tok Gajah. Mungkinkah kebangkitan ini bakal melihat Norshahrul kembali menyarung jersi skuad kebangsaan?

KETIADAAN WILLIAN PACHECO 

Biarpun Alfonso de la Cruz menekankan bahawa beliau mampu membina kesefahaman yang menarik bersama Razman Roslan untuk perlawanan ini, ketiadaan Willian Pacheco jelas memberi impak yang negatif di bahagian pertahanan Selangor. Patrick Cruz dan Austin Amutu membuli pertahanan Selangor dengan mudah, dan kesilapan besar Alfonso juga menghadiahkan sepakan penalti kepada Pahang pada babak kedua, sekaligus membunuh perlawanan tersebut.

FALSAFAH MENYERANG PAHANG

Percaturan Dollah Salleh tidak selalunya tepat 100% tetapi malam ini, beliau memilih falsafah taktikal yang cukup tepat. Formasi 4-4-2 Pahang bukan sahaja memberi tekanan besar ke atas Selangor, malah mentaliti pemain untuk melancarkan serangan bertubi-tubi juga memaksa Selangor bermain dengan garisan defensif yang rendah. Dan pada babak kedua, biarpun Pahang mempunyai kelebihan 2-0, Dollah tetap memilih untuk membawa pasukan pemain gantian untuk meningkatkan intensiti mereka di bahagian pertahanan. Fokus terhadap bahagian serangan berjaya mematahkan semangat Selangor kerana mereka dipaksa bergantung kepada serangan balas tanpa memiliki barisan penyerang yang pantas.