Liga Super Malaysia Berita

Malaysia Airlines perbaharui tajaan skuad Harimau Malaya, FAM

Malaysia Airlines Berhad (MAB) perbaharui tajaan sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM.

Perjanjian penajaan sebagai penaja utama skuad Harimau Malaya dan FAM itu adalah bagi tempoh 3 tahun bermula Januari 2024 hingga Disember 2026.

Dokumen perjanjian penajaan FAM bersama MAB itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran, disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan CEO Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

“Jalinan kerjasama antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi ia turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara,” kata Hamidin.

“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya malah dapat memberi impak yang positif terhadap sektor ekonomi negara.

“Saya percaya dengan kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama.  Terima kasih sekali lagi kepada MAB dan semoga jalinan kerjasama ini akan memacu dua organisasi ini ke arah kecemerlangan.”

CEO Penerbangan, Ahmad Luqman meluahkan rasa bangga dapat mengekalkan perkhidmatan kepada skuad bola sepak negara dan memberikan sokongan berterusan kepada FAM melalui tajaan, kini dalam tahun keenam berturut-turut.

“Kami teruja untuk melanjutkan kerjasama ini selama tiga tahun lagi, sebagai sebahagian daripada visi strategik kami untuk memartabatkan sukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Syarikat penerbangan kami berdedikasi untuk memartabatkan bola sepak Malaysia ke platform global, mempamerkan bakat sukan negara sambil mengibarkan bendera setinggi-tingginya.”