Malaysia tewas dengan jaringan saat akhir 1-0 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Piala Asia 2023.
Ia kekalahan kedua berturut-turut buat skuad negara setelah tewas 4-0 kepada Jordan minggu lalu.
Pan-gon membuat empat pertukaran dalam perlawanan kali ini iaitu Shahrul Saad dan Dominic Tan di bahagian pertahanan, manakala Syamer Kutty Abba di bahagian tengah dan Paulo Josue sebagai penyerang tunggal dalam formasi 5-4-1.
Malaysia memiliki peluang terbaik mendahului pada minit ke-16 menerusi gerakan Faisal Halim yang melorongkan bola ke Paulo Josue namun gagal menyudahkannya, bola itu kemudian disambar Arif Aiman tetapi rembatannya ditampan keluar penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfalla.
Pasukan negara terus mengancam kubu pertahanan lawan dengan Arif sedikit lewat untuk menyambar hantaran lintang Josue pada minit ke-19 sebelum hantaran lintang pemain pertahanan kanan Matthew Davies dari sebelah kiri gawang sedikit melewati palang pada minit ke-28.
Gawang negara kemudian cemas seketika apabila pemain tengah Komail Alaswad melepasi kawalan pertahanan dalam kotak penalti sebelum Dion Cools dan Dominic tampil menyelamatkan keadaan tatkala Syihan Hazmi sudah tertewas pada minit ke-31.
Selepas 45 minit pertama permainan dilihat lebih memihak Malaysia, Bahrain tampil lebih garang pada separuh masa kedua dengan tandukan Abdulla Yusuf yang menerima hantaran Alaswad dalam kotak penalti sedikit melewati tiang pada minit ke-56.
Perlawanan menjadi mendebarkan di penghujung permainan apabila tendangan Matthew dari kiri gawang yang menerima hantaran Akhyar Rashid melambung tinggi pada minit ke-90.
Bahrain yang dikendalikan Juan Antonio Pizzi pula terlepas peluang keemasan untuk ‘mematikan’ perlawanan di awal masa kecederaan babak kedua selepas gerakan satu dua ke dalam kotak penalti gagal disudahkan Ali Hasan apabila percubaan itu diselamatkan oleh Syihan.
Walaupun perlawanan berbaki seminit sahaja lagi dalam masa tambahan, gawang Malaysia akhirnya dibolosi apabila percubaan pemain Bahrain apabila rembatan Ali Madan menembusi pertahanan dan melepasi Syihan sekali gus menghadiahkan kekalahan kepada negara.
Jordan mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas seri 2-2 menentang Korea Selatan.
Malaysia akan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari ini.