Malaysia Berita

Safawi hadiahkan gol untuk isteri sedang mengandung 6 bulan

Safawi Rasid menghadiahkan gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 kepada isterinya Syifa Melvin bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Ini selepas pemain kebangsaan itu meraikan gol dengan memasukkan bola ke dalam baju, sebagai simbolik penghormatan kepada isteri yang sedang mengandung, selain mahu berkongsi berita gembira bersama peminat.

“Ya, (Syifa) mengandung,” kata Safawi selepas perlawanan.

“Gol itu hadiah kepada isteri saya, doakan kami semoga semuanya selamat. Sudah nak masuk enam bulan.”

Safawi menjaringkan gol pada minit ke-77 yang juga gol pertamanya selepas kali terakhir menjaringkan gol kebangsaan setahun lalu.

Kali terakhir Safawi menjaringkan gol untuk negara ialah ketika Malaysia membenam Bangladesh 4-1, pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur Jun tahun lalu.

“Saya gembira sebab kali terakhir saya menjaringkan gol ketika lawan Bangladesh…saya (juga) gembira dapat gol di sini kerana saya jarang dapat peluang beraksi di sini.”

Safawi juga mengesahkan beliau akan terus kekal di JDT musim ini selepas tempoh pinjaman ke kelab Thailand, Ratchaburi, berakhir baru-baru ini.

Malaysia selepas ini dijadual bertemu Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, Selasa minggu depan.