Malaysia Berita

Malaysia tewas final Piala Raja 2022

Hasrat skuad negara untuk menjulang Piala Raja 2022 tidak kesampaian apabila tewas 3-0 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0 tanpa jaringan pada perlawanan akhir di Chiang Mai malam ini.

Dion Cools, Nazmi Faiz dan Safawi Rasid gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang namun bergelut untuk mencari rentak permainan apabila dibayangi dengan hujan lebat sejak awal separuh masa pertama.

Banyak peluang yang dihasilkan terutama oleh Akhyar Rashid, Brendan Gan, Nazmi Faiz dan Syafiq Ahmad namun gagal menemui penyudah.

 

Malah, prestasi Mohamadou Sumareh dikecam kerana beliau menjejaskan peluang pasukan apabila hampir dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran melampau, sebelum digantikan dengan Arif Aiman di separuh masa kedua.

Malaysia meningkatkan usaha untuk menembusi pertahanan lawan di separuh masa kedua namun masih gagal berbuat demikian sehingga tamat perlawanan.

Tajikistan pada mulanya gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama, apabila sepakan panenka berjaya diselamatkan oleh Syihan Hazmi.

Namun, sepakan penalti Cools mudah diselamatkan oleh penjaga gol Tajikistan.

Ini diikuti dengan Nazmi yang juga gagal menyempurnakan penalti manakala sepakan Safawi sekadar terkena palang.

Tajikistan pula berjaya menyempurnakan 3 sepakan penalti, sekali gus menghadiahkan mereka kejuaraan pertama dalam sejarah Piala Raja Thailand.

Di sebalik kekalahan tersebut, Malaysia meraih mata yang akan membantu negara menaikkan kedudukan ranking FIFA.

Ini memandangkan perlawanan Piala Raja dianggap sebagai perlawanan persahabatan dan Malaysia berjaya mencatatkan dua keputusan seri iaitu 1-1 dengan Thailand dan 0-0 dengan Tajikistan.

Skuad negara akan kembali untuk tugasan seterusnya iaitu kejohanan Piala AFF 2022 pada Disember ini.