Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Corak permainan Malaysia kekal, kita mahukan kejayaan di final Piala Raja 2022

Corak permainan yang ditampilkan oleh skuad negara setakat ini akan terus diterapkan pada perlawanan akhir Piala Raja 2022 menentang Tajikistan di Chiang Mai malam ini.

Ini setelah corak permainan agresif skuad negara berjaya menghalang Thailand daripada meraih kemenangan.

“Kita meneliti perancangan kita dari segi strategi pasukan,” kata jurulatih negara, Kim Pan-gon dalam sidang media semalam.

“Kita akan kekalkan perancangan kita, saya cuba untuk capai sesuatu dengan pasukan jurulatih saya dan pada masa sama, kita membantu pemain untuk mencapai misi mereka.

“Kita mahukan kejayaan di final.”

Dalam pada itu, pemain tengah negara, Brendan Gan menyifatkan prestasi pasukan bakal menentukan keputusan di final.

“Kita sudah beraksi dengan baik menentang Thailand, tetapi ia bukan pengakhiran. Kita perlu beraksi dengan baik di final, barulah dapat keputusan yang baik.

“Bergantung kepada kita, tetapi saya yakin dengan pasukan saya, mereka sangat berbakat dan ini masanya untuk kita buktikan kemampuan kita.”