Liga Super Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe: Harap pemain Selangor dapat fahami corak permainan saya

Tan Cheng Hoe meletakkan harapan tinggi kepada pemain Selangor untuk menerapkan corak permainannya bermula musim depan.

Ini selepas jurulatih berusia 54 tahun itu diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Selangor berkuatkuasa serta-merta.

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan,” katanya ketika diperkenalkan buat pertama kali sebagai jurulatih Selangor.

“Saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu.

“Kualiti yang mereka ada mampu membantu saya mewujudkan semangat juang tinggi dalam pasukan.”

Ini merupakan tugas pertama Cheng Hoe selepas meletakkan jawatan sebagai jurulatih negara awal tahun ini, susulan prestasi hambar skuad kebangsaan di Piala AFF 2020.

Ini juga kali pertama Cheng Hoe kembali mengendalikan pasukan liga selepas kali terakhir berkhidmat di Kedah pada 2017, sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih kebangsaan.

“Bagi saya, Selangor merupakan satu kelab yang berpotensi besar, dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti,” kata Cheng Hoe.

“Saya berbesar hati untuk menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor.

“Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan.

“Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu saya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan.

“Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih.

“Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.”

Nidzam Jamil yang sebelum ini ditugaskan sebagai ketua jurulatih interim kembali memegang jawatan sebagai penolong jurulatih kepada Cheng Hoe.