Piala FA Berita

JDT mara ke final Piala FA 2022

Johor Darul Ta’zim mara ke perlawanan akhir Piala FA setelah menewaskan Pulau Pinang 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Arif Aiman Hanapi muncul pemain JDT paling menyerlah apabila menjaringkan hatrik di separuh masa kedua.

Ini kali ketiga JDT mara ke final Piala FA selepas melakukannya pada 2013 (Tewas 1-0 Kelantan) dan 2016 (Menang 2-1 PKNS).

Ini juga sekali gus menamatkan tempoh kemarau penampilan JDT dalam final Piala FA apabila kali terakhir beraksi di final pada 2016, dengan edisi 2020 dan 2021 tidak diadakan kerana Covid-19.

JDT mendahului menerusi jaringan Bergson yang berjaya menyudahkan bola yang melantun keluar ke arahnya hasil sepakan Fernando Forestieri yang terkena tiang pada minit ke-19.

Forestieri bagaimanapun enggan melepaskan peluang lagi untuk menjaringkan gol apabila menyumbat masuk gol kedua JDT pada minit ke-23, mengambil kesempatan di atas kerapuhan pertahanan Pulau Pinang.

Namun, Arif Aiman membuat kejutan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 5 minit pertama bagi separuh masa kedua, malah kedua-duanya dijaringkan dari sebelah kanan gawang gol.

Pulau Pinang akhirnya berjaya merapatkan jurang apabila menembusi gawang JDT hasil tandukan Lucas Silva pada minit ke-54.

Arif yang sekali lagi menghantui Pulau Pinang apabila tendangannya tertampan ke gawang gol pihak lawan pada minit ke-62.

Syahmi Safari melengkapkan kemenangan buat JDT apabila menjaringkan gol dalam masa tambahan, menjadikan keputusan 6-1 hingga tamat perlawanan.

JDT akan bertemu pemenang antara Selangor dan Terengganu dalam perlawanan separuh akhir Piala FA esok.