Liga Super Malaysia Berita

Subahan Kamal: TMJ ada bantu Selangor pada 2017

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal mengakui pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada memberikan bantuan kewangan kepada Red Giants beberapa tahun lalu.

Katanya, bantuan itu diberikan selepas Selangor mengalami kesukaran untuk mencari dana daripada pihak swasta dan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Ketika saya memegang jawatan sebagai Presiden FAS pada tahun 2017-2018, saya tidak mendapat satu sen pun daripada kerajaan negeri,” kata Subahan kepada Berita Harian.

“Saya terpaksa mencari dana sendiri. Ketika itu, memang kami susah untuk mencari dana sendiri.

“Alhamdulillah, Tunku Ismail bersetuju untuk membantu.”

Perkara itu mengesahkan kenyataan TMJ yang berkata beliau pernah membantu beberapa pasukan termasuk Selangor.

Ini sekali gus bercanggah dengan kenyataan CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang sumbangan bantuan berbentuk kewangan daripada mana-mana pasukan lain.

“Dalam karier saya dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong,” kata TMJ sebelum ini.

“Cuma saya tak bagi tahu media sahaja. Tapi oleh kerana sahabat kita (wartawan) sudah tanya.

“Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Pulau Pinang sekali serta Melaka.

“Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan.”