Malaysia Berita

Malaysia raih kemenangan pertama bawah kendalian Kim Pan-gon

Skuad kebangsaan Malaysia meraih kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih negara, Kim Pan-gon apabila menewaskan Filipina 2-0 dalam perlawanan pembukaan FAS Tri-Nations Series yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura.

Perlawanan itu menyaksikan Pan-gon menyenaraikan 7 pemain JDT dalam kesebelasan utama, dengan Syafiq Ahmad diletakkan di bahagian hadapan serangan, digandingkan dengan Arif Aiman dan Akhyar Rashid di bahagian sayap.

R Kogileswaran berada di bahagian tengah bersama-sama Safiq Rahim dan Syamer Kutty.

Dion Cools kali ini bertindak sebagai pertahanan sayap kanan manakala Khuzaimi Piee diberi peluang untuk beraksi bersama-sama Shahrul Saad di bahagian pertahanan, selain pertahanan sayap kiri Corbin Ong dan penjaga gol, Farizal Marlias sebagai kapten.

Ternyata kesebelasan utama ini membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengatur serangan dan mengawal bola dengan baik selain pertahanan yang kukuh dan sukar ditembusi sepanjang perlawanan.

Malah, terdapat keyakinan yang ditonjolkan dalam setiap pergerakan pemain ketika berdepan Filipina.

Keyakinan itu dibuktikan apabila skuad Harimau Malaya menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-3 menerusi rembatan kencang Akhyar Rashid selepas mudah melepasi pertahanan Filipina.

Malaysia sekali lagi mengatur serangan balas yang agresif apabila hantaran Syafiq Ahmad disudahkan oleh Akhyar pada minit ke-24.

Skuad Harimau Malaya mempunyai banyak peluang di separuh masa pertama dan kedua, namun keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Ia satu permulaan yang baik dalam era baharu Kim Pan-gon.