Liga Super Malaysia Berita

TMJ akui beri sumbangan kepada Perak, harap isu tunggakan gaji selesai

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui ada memberikan sumbangan bagi membantu pasukan Liga Premier, Perak yang dibelenggu isu tunggakan gaji baru-baru ini.

Ini selepas Perak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tunggakan gaji bernilai RM1.7 juta sehingga melepasi tempoh yang ditetapkan, menyebabkan pasukan itu tidak dapat menandatangani sebarang pemain baharu sebaliknya hanya mengekalkan pemain sedia ada.

“Tiga hari lepas pengurusan Perak ada datang berjumpa saya,” kata TMJ kepada Bernama.

“Saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan. Saya tidak boleh cakap berapa, tetapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak.

“Saya harap masalah itu boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat.”

Bagaimanapun, beliau menganggap sumbangan itu bukanlah perkara yang luar biasa kerana beliau pernah melakukannya sebelum ini.

Namun, TMJ tidak mahu ia dihebohkan kepada media sebelum ini.

“Dalam karier saya dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tak bagi tahu media sahaja. Tapi oleh kerana sahabat kita (wartawan) sudah tanya.

“Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Pulau Pinang sekali serta Melaka.

“Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan.”