Liga Super Malaysia Berita

Perak FC akhirnya umum pemilik baharu

Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd diumumkan sebagai pemilik baharu Perak FC.

Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad di pejabat PAFA yang turut dihadiri Pengerusi IMC, Khairul Mahmood semalam.

Ini selepas 100 peratus pegangan saham pasukan dijual kepada syarikat berkenaan, namun enggan mendedahkan nilai pengambilalihan.

“Berkuatkuasa hari ini, segala urusan Perak FC akan diambil alih oleh PAFA iaitu sehingga segala proses selesai,” katanya kepada Berita Harian.

“Mereka (IMC) juga akan berbincang mengenai pemain sedia ada, selain melantik CEO dalam masa terdekat.

“IMC kebanyakannya terdiri daripada gabungan anak-anak muda.

“Kita tak boleh paksa IMC selesaikan semua, tetapi kita bersama-sama akan cari satu formula, termasuk berjumpa dengan pemain.”

Ini bermakna, Perak menjadi kelab kelima yang melakukan penjualan 100 peratus pegangan syarikat secara sekali gus selepas Sri Pahang FC, PJ City FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), dan Kelantan FC.