Piala Malaysia Berita

Subkhiddin: Shane Lowry berkelakuan ganas, pengadil perlu berani ambil tindakan

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh mengakui pengadil perlawanan Malaysia perlu lebih berani dalam mengambil tindakan ketika mengadili perlawanan.

Ini kerana, beliau menyifatkan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry yang mengasari penyerang Terengganu, Jordan Mintah, pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 kelmarin adalah satu perwatakan keganasan dalam bola sepak.

Malah, katanya, keganasan itu boleh dikenakan hukuman berat.

“Keputusan terhadap tindakan itu semua orang sudah boleh tahu, tak perlu kita sebut,” katanya kepada Bernama.

“Ini adalah konsep tindakan ganas, kerana bola tidak dimainkan ketika itu. Ceritanya berbeza jika ia berlaku semasa dalam permainan maka ia menunjukkan benar-benar ingin mencabar bola.

“Tetapi ini bola tiada di situ, ‘out of play’ dan dia bertindak sebegitu.

“Ia adalah kelakuan yang ganas ibarat menolak pengadil, konsep yang sama.”

Subkhiddin juga mengakui bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga insiden keganasan berlaku dalam perlawanan tersebut dan tidak seharusnya dibiarkan pengadil begitu sahaja.

“Pengadil jangan takut, kerana semua boleh menerima kalau dia membuat satu keputusan yang betul. Ia tidak akan menjadi masalah, tidak akan timbul isu atau skandal.

“Jika kena gantung sekali pun, orang boleh terima sebab ia adalah keputusan yang betul.

“Tetapi bila keputusan yang dibuat itu tidak betul, memang akan mengundang kecaman, apatah lagi jika dalam satu perlawanan ada tiga isu tidak sepatutnya berlaku.

“Kalau insiden itu berlaku depan mata, tidak sepatutnya dia tidak tahu jawapan yang sepatutnya dia berikan.”

Dalam perlawanan itu, Lowry bertindak meluru ke arah Mintah sebelum menarik baju dan menolak pemain dari Ghana itu yang terbaring di atas padang pada minit ke-71, sekali gus mencetuskan suasana tegang, namun tiada layangan kad sebagai amaran kepadanya oleh pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah.