Liga Super Malaysia Berita

PAFA gesa Perak rehatkan Chong Yee Fatt

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad mencadangkan kepada pengurusan pasukan Perak supaya merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat selepas bimbang dengan prestasi pasukan yang mengalami tiga kekalahan dalam lima perlawanan setakat ini.

Katanya, jika tidak dilakukan sesuatu, Perak kemungkinan besar akan tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

“Kita sendiri boleh lihat pencapaian Perak pada ketika ini yang boleh dianggap sebagai pasukan belasahan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

“Perkara ini kalau dibiarkan berterusan, kemungkinan besar kita akan tersingkir ke Liga Premier.

“Cadangan saya ini juga bukan atas pandangan peribadi saya sendiri sahaja tetapi ia turut diluahkan oleh ramai penyokong bola sepak negeri sama ada secara terus kepada saya atau dalam platform media sosial.”

Ketika ditanya mengenai pengganti yang sesuai, Yadzan mencadangkan penolong ketua jurulatih Perak, Shahril Nizam Khalil.

“Shahril sudah bersama pasukan pada era Karl Heinz Weigang, kemudian Mehmet Durakovic dan bersama Yee Fatt ketika ini. Jadi, dengan pengalaman luas yang dia ada, kita boleh bagi peluang pada dia untuk bawa pasukan sementara Yee Fatt direhatkan.

“Mana tahu dengan perubahan ini kedudukan pasukan boleh berubah dan saya fikir bukan satu kerugian kalau kita cuba lakukan perkara ini demi mendapatkan kembali rentak pasukan.”

Di bawah kendalian Yee Fatt, Perak yang mengumpul 13 mata dalam 16 perlawanan berada di tangga kedua tercorot Liga Super.

Perak juga hanya mencatatkan 3 kemenangan, 4 seri dan 9 kekalahan, jumlah kekalahan kedua terbanyak selepas UiTM FC yang mencatatkan 13 kekalahan setakat ini.